FIM Siri 7: Penjagaan Kesihatan Yang Lestari Untuk Semua Dituntut Sebagai Keperluan Semasa Negara
Malaysia kini berada di ambang perubahan struktur dalam sektor kesihatan apabila pelbagai cabaran utama seperti peningkatan penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases, NCD), perubahan demografi ke arah masyarakat menua, ketidakseimbangan sumber manusia dan tekanan kos perubatan mendesak kepada satu agenda pembaharuan menyeluruh.
Bagi membincangkan isu-isu berkenaan secara tuntas, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah bekerjasama dengan syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan terbesar rantau Asia, IHH Healthcare dalam penganjuran Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 7 yang berlangsung di ibu negara semalam.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof bertindak sebagai moderator buat julung-julung kalinya bagi membincangkan tema “Menuju Penjagaan Kesihatan yang Lestari untuk Semua” sebagai platform penting dalam merumuskan langkah ke hadapan secara inklusif dan interdisiplin.
FIM Siri 7 telah menghimpunkan tiga (3) orang pemikir dan pelaksana dasar utama dalam sektor kesihatan negara — Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr. Dzulkefly Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Monash University Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IHH Healthcare, Dr. Prem Kumar Nair.
Dalam pembentangannya bertajuk "Building a Sustainable Healthcare Ecosystem", Dr. Prem menekankan bahawa sistem penjagaan kesihatan Malaysia harus melangkaui pendekatan rawatan berpusatkan hospital kepada model berasaskan komuniti, pencegahan dan data.
Beliau memperkenalkan pelaksanaan 'value-based healthcare' oleh IHH sejak 2019 sebagai contoh kejayaan sektor swasta dalam menyeimbangkan kualiti rawatan dengan kawalan kos.
Inisiatif seperti Early Recovery After Surgery (ERAS) dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam diagnosis telah membuktikan keberkesanan penjagaan luar hospital (out-of-hospital care), termasuk pusat rawatan harian dan penjagaan primer di komuniti.
Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr. Dzulkefly Ahmad pula membentangkan rangka reformasi sistem kesihatan negara melalui pendekatan dwi-pembiayaan yang melibatkan percukaian umum dan perlindungan kesihatan sosial.
Inisiatif Medical Health Insurance Takaful (MHIT), contohnya telah diperkenalkan bagi memperluas akses kepada rawatan asas swasta secara mampu milik serta inisiatif Rakan Kementerian Kesihatan Malaysia (Rakan KKM) bagi menjana pendapatan dalaman hospital melalui perkhidmatan elektif berbayar.
Penekanan turut diberikan kepada pelaksanaan sistem Electronic Medical Record (EMR) nasional, penambahbaikan infrastruktur kesihatan dan penyelesaian struktur kepada isu kekurangan dan agihan tenaga kerja kesihatan.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan sistem penjagaan kesihatan berdasarkan nilai (value-based healthcare) dan pelaksanaan sistem Diagnosis-Related Groups (DRG) sebagai langkah konkrit mengawal inflasi kos perubatan.
Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman dalam pembentangannya bertajuk "Investing in Healthcare for All" menegaskan bahawa kesihatan perlu dilihat sebagai pelaburan oleh semua pihak — bukan hanya oleh kerajaan tetapi juga individu, masyarakat dan industri.
Beliau membentangkan statistik membimbangkan mengenai impak penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk fakta bahawa 72% kematian pramatang di Malaysia berpunca daripada NCD.
Justeru, beliau mencadangkan supaya pelaburan difokuskan kepada 15 kategori penyakit utama yang dikenal pasti melalui kajian antarabangsa, dan menyarankan agar kerajaan melaksanakan pelbagai strategi seperti pelaburan dalam penjagaan komuniti, pencegahan awal, serta reformasi tenaga kerja kesihatan yang merangkumi jururawat, pakar rehabilitasi dan tenaga kesihatan bersekutu (allied health workforce).
Malah, beliau turut mencadangkan pelaksanaan 'Sin Tax' (cukai terhadap barangan tidak sihat seperti gula, vape dan alkohol) dan pemansuhan subsidi makanan berproses sebagai langkah intervensi kesihatan awam.
Pada sesi dialog berkenaan, beberapa isu telah dibangkitkan antaranya termasuk cadangan penyelarasan peranan hospital pengajar dalam sistem kesihatan kebangsaan, perluasan penggunaan teleperubatan di kawasan luar bandar, keperluan kepada pelan penempatan doktor yang lebih adil dan sistematik, serta gesaan mewujudkan skim kerjaya khusus untuk ahli ekonomi kesihatan (health economists) dalam perkhidmatan awam.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah dalam ucapan penutupnya menyifatkan forum ini sebagai titik tolak kepada penggubalan dasar kesihatan negara yang lebih berpaksikan rakyat, inklusif dan mampan serta menekankan bahawa pembaharuan sistem kesihatan bukan lagi satu pilihan masa hadapan, tetapi satu keperluan segera dan kolektif.
Dengan FIM Siri 7 menjadi medan penting mempertemukan suara pelaksana dasar, penyelidik, profesional kesihatan dan penggerak komuniti dalam menyemai kerangka sistem kesihatan Malaysia yang lebih responsif, saksama dan lestari, agenda kesihatan kini tidak lagi terletak di bahu satu pihak semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; serta Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1887