Festival Idea Putrajaya, Telah Bermula

Festival Idea Putrajaya, Telah Bermula

Festival Idea Putrajaya telah dimulakan semalam menandakan permulaan inisiatif tahunan yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan intelektual dan inovasi.

Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 27 hingga 29 November, dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan sokongan penuh Kerajaan Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, dalam ucapan alu-aluannya, menekankan kepentingan idea dalam membentuk sejarah dan tamadun manusia.

Beliau menyatakan bahawa Festival Idea Putrajaya ini adalah platform untuk rakyat menyumbangkan idea demi membentuk masa depan negara yang lebih gemilang.

"Hari ini kita memulakan sebuah langkah bersejarah. Satu permulaan kepada perubahan besar yang mungkin belum dirasai sepenuhnya, tetapi pasti akan membawa impak mendalam pada masa depan negara," kata beliau.

Beliau turut menekankan cabaran globalisasi, perkembangan teknologi dan isu alam sekitar yang memerlukan persediaan rapi untuk menghadapi perubahan pantas dalam dekad akan datang.

Selain itu, generasi muda diingatkan untuk bersedia menghadapi cabaran ini dengan ilmu dan idea baharu.

Festival ini juga menampilkan pelancaran "Bank Idea", sebuah platform di mana rakyat boleh menyumbangkan pandangan dan aspirasi mereka untuk Malaysia yang lebih cemerlang.

"Kita akan mengangkat Putrajaya sebagai 'The City of Ideas' untuk Malaysia dan dunia," tambah YB Menteri, menegaskan komitmen Kerajaan dalam memartabatkan tradisi ilmu dan inovasi. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 274
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 01:24:25.

logo-sirim