Draf Akhir PPTM 2025-2035 Siap Dibentang Ke Kabinet

Draf akhir rangka tindakan ('blueprint') Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akhirnya telah diluluskan untuk dibawa dan dibentangkan ke Kabinet.
Keputusan tersebut dibuat hasil Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 Bilangan 3/2024 yang telah dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang pada 4 Disember lalu.
Menurut beliau, dokumen tersebut telah dirangka berdasarkan pelbagai sesi libat urus yang melibatkan lebih 6,000 pemegang taruh daripada pelbagai sektor dalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi.
“Setiap langkah yang diambil adalah untuk memastikan dokumen ini memenuhi keperluan sektor pendidikan tinggi dan mampu menangani cabaran yang mendatang,” katanya.
Justeru, beliau turut memaklumkan dokumen rangka tindakan tersebut turut dijenamakan semula kepada “Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035” bagi memberikan impak yang lebih signifikan kepada rencana pemerkasaan pendidikan tinggi negara.
Sesi mesyuarat turut menyaksikan sokongan padu daripada pelbagai pihak yang berkepentingan, sekali gus mencerminkan semangat kolaborasi dalam memperkukuhkan sektor pendidikan tinggi negara.
Dalam pembentangannya, Pengerusi Pakar Jawatankuasa Pakar PPTM 2025-2035, Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail menjelaskan bahawa draf ini adalah hasil daripada pelbagai perbincangan yang mendalam serta penganjuran siri bengkel strategik.
“Dokumen ini direka untuk menjadi panduan utama pembangunan pendidikan tinggi negara selama 10 tahun akan datang. Ia bukan sahaja relevan tetapi juga responsif kepada perubahan global,” ujarnya.
Apabila telah mendapat kelulusan Kabinet kelak, PPTM 2025-2035 yang akan dilancarkan secara rasmi tahun hadapan bakal menjadi kerangka utama dalam menentukan hala tuju pendidikan tinggi negara, memastikan sektor ini kekal kompetitif, mampan dan bersedia menghadapi cabaran global.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 463