Bakal Pelajar Malaysia Ke Luar Negara Diseru Tekal Sikap Dan Cita, Pesan YB Menteri

Bakal Pelajar Malaysia Ke Luar Negara Diseru Tekal Sikap Dan Cita, Pesan YB Menteri

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menghadiri sesi dialog bersama mahasiswa sempena Program Karisma Antarabangsa Siswa MADANI 2024, bertemakan “Mahasiswa MADANI: Cendekiawan Rabbani” di sini semalam.

Dalam dialog tersebut, beliau telah turut berkongsi kisah perjalanan hidup serta pencapaiannya untuk diangkat menjadi inspirasi kepada para pelajar yang bercita-cita hendak melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi di luar negara.

Malah, beliau menekankan kepentingan memiliki semangat juang dan kesungguhan yang tinggi dalam mengejar impian, sambil tidak melupakan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, sambil diingatkan agar sentiasa berpegang kepada prinsip-prinsip moral dan akhlak yang tinggi, walau di mana jua mereka berada.

Selain itu, YB Menteri dalam ucapannya turut memberikan jaminan penuh pihak KPT kepada para pelajar yang bakal menyambung pengajian di Timur Tengah.

Menurut beliau, keberadaan mereka di negara-negara tersebut adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Malaysia, yang akan terus memastikan kesejahteraan, keselamatan, serta kebajikan terjaga sepanjang tempoh pengajian di sana.

Ini dibuktikan melalui pengalaman Kerajaan Malaysia dalam menguruskan rakyatnya dalam pelbagai situasi serta krisis di rantau asing selama ini.

Seramai 200 pelajar dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta yang sedang mempersiapkan diri ke universiti-universiti di Timur Tengah dan Mesir pada Februari depan hadir menjayakan program tersebut.

Program Karisma Antarabangsa Siswa MADANI 2024 ini dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang bertujuan menggalakkan mahasiswa untuk menyuarakan pandangan secara kritis dan membina, sambil menitikberatkan pemeliharaan nilai-nilai budaya serta agama.

Selain daripada sesi forum, program ini turut menyediakan pelbagai aktiviti sokongan yang membantu pelajar IPT mempersiapkan diri menghadapi cabaran kehidupan di luar negara termasuk taklimat kenegaraan daripada Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan peluang kerjaya melalui portal MyFutureJobs, yang dikelolakan oleh PERKESO.

Mendukung hasrat Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, program ini diharapkan mampu melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga memiliki kekuatan jati diri dan kematangan dalam mengharungi cabaran global yang semakin kompleks. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1147
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 13 Februari 2025, 07:17:37.

logo-sirim