ASEAN-UK Beri Komitmen Perkasa Pembangunan Pendidikan Rantau Asia Tenggara

ASEAN-UK Beri Komitmen Perkasa Pembangunan Pendidikan Rantau Asia Tenggara

Pada hari kedua lawatan kerjanya ke United Kingdom (UK) semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar telah menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Menteri Pendidikan ASEAN (ASEAN Ministerial Breakfast Meeting) yang turut disertai oleh YB Tuan Robert Halfon, wakil kepada Menteri Pendidikan UK di Queen Elizabeth II Centre.

Antara Menteri ASEAN yang hadir ialah Menteri Pendidikan Indonesia, YB Tuan Nadim Anwar Makarim; Menteri Pembangunan UK, YB Tuan Andrew Mitchell; Menteri Hubungan Antarabangsa UK, YB Sir Steve Smith; dan delegasi utama negara ASEAN.

Para menteri dan delegasi utama telah berpeluang untuk bertemu dan berbincang mengenai perancangan dan pembangunan sektor pendidikan Asia Tenggara, serta topik-topik berkaitan seperti perubahan iklim; kesaksamaan gender; TVET; serta pengaplikasian dan transformasi teknologi digital.

Turut dibincang isu berkenaan ‘Kemahiran Hijau (Green Skills)’ yang perlu diterapkan dalam bidang pendidikan mencakupi perihal tenaga boleh diperbaharui; pelepasan karbon sifar bersih; Pembelajaran Sepanjang Hayat; perantisan kemahiran hijau; serta program peningkatan kemahiran masa hadapan.

Tuan rumah, UK turut menggunakan kesempatan yang ada itu untuk memahami keperluan penglibatan mereka dalam pembangunan pendidikan sambil mengeratkan hubungan multilateral mereka dengan rantau ini.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Dato' Prof. Md. Amin Md. Taff; dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), YBrs. Prof. Dr. Fadzli Adam.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2653
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim