Anugerah MRSA 2025: Pengiktirafan Kepada Penyelidik Cemerlang Dan Inisiatif Memperkasa Ketampakan Ilmuwan Malaysia

Anugerah MRSA 2025: Pengiktirafan Kepada Penyelidik Cemerlang Dan Inisiatif Memperkasa Ketampakan Ilmuwan Malaysia

Majlis Malam Anugerah Malaysia Research Star Award (MRSA) 2025 yang berlangsung malam tadi telah menjadi pentas pengiktirafan kepada penyelidik-penyelidik cemerlang negara yang berjaya menghasilkan penerbitan berkualiti serta berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika berucap merasmikan majlis tersebut menekankan kepentingan penerbitan ilmiah berindeks dalam meningkatkan reputasi serta kualiti institusi pendidikan tinggi negara.

"Sejak tahun 2015, seramai 102 penyelidik dan institusi pendidikan tinggi telah menerima pengiktirafan melalui anugerah ini. Penerbitan berkualiti bukan sahaja membolehkan kita berkongsi ilmu tetapi juga membantu dalam pemetaan hala tuju penyelidikan negara", ujar beliau.

Pada majlis MRSA kali ini, sebanyak 26 anugerah disampaikan dalam empat (4) kategori utama iaitu Frontier Researcher, Outstanding Research in Phytochemicals, Researcher Cluster, dan Kategori Journal.

Selain pengiktirafan kepada penyelidik, majlis ini turut menyaksikan pelancaran Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Akses Terbuka Tesis dan Disertasi Universiti Awam Malaysia yang bertujuan membolehkan hasil penyelidikan dari 20 Universiti Awam dikongsi secara lebih meluas dan memberi manfaat kepada penyelidik serta masyarakat.

Beliau sempat menyinggung cabaran yang dihadapi oleh dunia akademik, khususnya berkaitan plagiarisme, integriti data, dan tekanan untuk menerbitkan karya akademik secara berlebihan.

Justeru, beliau juga menyeru agar budaya penyelidikan beretika diterapkan, terutama dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang kini semakin canggih dalam membantu proses penulisan akademik.

Sebagai penghargaan kepada penerima anugerah MRSA 2025, YB Menteri turut mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM1,000 kepada setiap penerima anugerah.

Melalui pengiktirafan seperti MRSA dan inisiatif akses terbuka penyelidikan, Malaysia berada pada landasan kukuh untuk menjadi pusat penyelidikan dan penerbitan akademik bertaraf antarabangsa.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, serta pengurusan kanan KPT dan Universiti Awam. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 384
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 20 Mac 2025, 07:42:13.

logo-sirim