4 Dekad Hospital USM Bukti Kepakaran Pendidikan Tinggi Dalam Bidang Kesihatan Negara

4 Dekad Hospital USM Bukti Kepakaran Pendidikan Tinggi Dalam Bidang Kesihatan Negara

Genap 40 tahun usia penubuhan Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) di Kubang Kerian telah melakarkan pencapaian cemerlang dan membanggakan sektor pendidikan tinggi Malaysia dalam memperkasakan kepakaran, penyelidikan serta perkhidmatan bidang kesihatan negara.

Justeru, berbekalkan pengalaman dan reputasi tersebut, Hospital USM diharap tekal proaktif menggugah segala ruang dan peluang dalam memenuhi aspirasi negara dan keperluan segenap lapisan masyarakat.

Di samping itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin yang hadir menyempurnakan sambutan 40 Tahun Hospital USM di sini pagi tadi turut menggariskan dua (2) perkara yang menjadi fokus beliau di kementerian ini.

Pertamanya adalah dengan usaha 'Merakyatkan Ilmu' iaitu perkongsian hasil dan manfaat kebijakan ilmu, kepakaran dan pengalaman golongan akademik di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan kepada rakyat.

Keduanya, semua entiti di bawah kementerian, termasuklah Hospital-hospital Pengajar Universiti (HPU) perlu bersepakat dan berpadu usaha melibatkan perkongsian sumber, kepakaran, sistem, pendekatan tadbir urus serta amalan terbaik hingga mampu menjadi aset dan kekuatan bersama sektor pendidikan tinggi negara.

"Ledakan teknologi disruptif ini sudah menerjah masuk ke dalam segenap spektrum kehidupan. Termasuklah ke dalam sektor perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan," rujuk beliau terhadap kepentingan ilmu berkaitan Kecerdasan Buatan (AI), IoT, robotik dan Machine Learning masa kini.

Maka, Hospital USM dan HPU lain perlu bergandingan dalam menjalinkan kerjasama dengan pihak industri serta peneraju teknologi dan inovasi supaya bidang perubatan yang dimajukan oleh sektor pendidikan tinggi akan menjadi lebih besar, berdaya saing, komprehensif dan padu.

"Selayak usia, pengalaman dan kedewasaan Hospital USM ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru. Agar HUSM menjadi peneraju dalam menyambut dan menterjemahkan kedua-dua penegasan dan fokus KPT yang saya sebutkan ini," ucap beliau kepada semua warga Hospital USM yang meraikan sambutan tersebut.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian,; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hj. Hussin; Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; serta Pengarah Hospital USM, Prof. Dato' Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1707
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 24 Februari 2024, 09:25:25.