Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam Pacu Kecemerlangan Sektor Awam Negara

29	Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam Pacu Kecemerlangan Sektor Awam Negara

Kerajaan hari ini melancarkan Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam sebagai pemacu strategik memperkukuh kecemerlangan dan daya saing sektor awam di peringkat nasional dan global.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya petang tadi.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz; dan Pengerusi CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat.

Dasar ini bertujuan melahirkan pegawai awam yang berkemahiran tinggi, berintegriti dan berfikiran strategik.

Penekanan diberikan kepada penilaian berasaskan merit dan kompetensi, peningkatan kemahiran berterusan serta pembudayaan amalan kerja berprestasi tinggi.

Pendekatan ini merangkumi pemetaan bakat di semua peringkat perkhidmatan, program pembangunan kepimpinan berskala besar, kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi dan industri, serta penggunaan teknologi dan data sebagai alat pengurusan bakat.

MAPPA XX yang bertemakan Perkhidmatan Awam MADANI Teras Kecemerlangan menghimpunkan lebih 30,000 pegawai awam secara fizikal dan maya yang telah diisi dengan pelbagai aktiviti, antaranya forum Cakna Inspirasi MAPPA, 43 reruai pameran perkhidmatan serta solat fardu Jumaat.

YAB Perdana Menteri turut mengumumkan peluasan kelayakan masuk pelbagai skim perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia dan penambahbaikan Insentif Berasaskan Prestasi (BIPS).

Malah, Kerajaan turut memperkenalkan Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) kepada pegawai awam yang menamatkan pengajian secara inisiatif sendiri, iaitu RM1,250 bagi Ijazah Kedoktoran, RM1,000 bagi Ijazah Sarjana, RM750 bagi Ijazah Sarjana Muda dan RM500 bagi Diploma atau kelayakan setara.

Turut diumumkan peruntukan tambahan RM3 juta kepada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) serta pelanjutan program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu, Qualification (APEL.Q) sehingga tahun 2026 dengan pembiayaan sehingga 50 peratus atau maksimum RM15,000.

Pada masa yang sama, Kerajaan turut memaklumkan pemansuhan syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi kemudahan cuti menunaikan haji kepada penjawat awam lantikan tetap.

Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam akan mula dilaksanakan pada 1 September depan sebagai langkah strategik memastikan sektor awam kekal relevan, responsif dan berdaya saing dalam menyokong agenda reformasi negara.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim serta delegasi Kementerian. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 481
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 08 September 2025, 09:32:49.

logo-sirim