1,885 Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam Ditauliah

12 September 2026 | Pauh, Perlis
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis berkenan bercemar duli menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) ke-44 yang melibatkan 1,885 Pegawai Kadet daripada 20 UA seluruh negara di Padang Kawad Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Istiadat berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, manakala keberangkatan baginda disambut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak Sulaiman, Panglima-Panglima Perkhidmatan dan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.
Pentauliahan itu menandakan penyertaan para Pegawai Muda berkenaan dalam pasukan simpanan Angkatan Tentera Malaysia selepas menamatkan latihan PALAPES di UA masing-masing.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1,218 Pegawai Muda ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW), 389 orang ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) manakala 278 orang ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).
Pada istiadat berkenaan, seramai 39 orang Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap perkhidmatan turut menerima Anugerah Pedang Kehormat sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, kepimpinan, disiplin dan kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang menjalani latihan PALAPES.
Selain itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengurniakan Watikah Tauliah kepada para Pegawai Muda dalam majlis yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselori UniMAP.
Majlis tersebut turut disusuli dengan bacaan Ikrar Taat Setia Perwira yang melambangkan kesediaan dan kesetiaan para pegawai yang ditauliahkan kepada pasukan masing-masing.
Pada masa sama, penganjuran istiadat berkenaan turut disertai pelbagai pameran aset dan demonstrasi ketenteraan yang memberi peluang kepada masyarakat melihat dengan lebih dekat aset serta keupayaan pertahanan negara.
Antara pengisian yang diadakan ialah pameran aset statik darat, laut dan udara serta demonstrasi terjun bebas, Tempur Tanpa Senjata, ikhtiar hidup dan pertunjukan anjing perang di sekitar Padang Kawad dan Dataran Boulevard UniMAP dari 10 hingga 12 September 2026.
- Last updated on .
- Hits: 46
