Permohonan Kemasukan Pelajar Ke Universiti Awam (UA), Kolej Matrikulasi KPM, Institut Pendidikan Guru (IPG), Politeknik, Kolej Komuniti Dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA)

SOALAN LAZIM (FAQ) KEMASUKAN PELAJAR KE UNIVERSITI AWAM (UA), KOLEJ MATRIKULASI KPM, INSTITUT PENDIDIKAN GURU (IPG), POLITEKNIK, KOLEJ KOMUNITI DAN INSTITUSI LATIHAN KEMAHIRAN AWAM (ILKA)

 UMUM

1. Bila permohonan kemasukan dibuka dan adakah bayaran dikenakan untuk mengemukakan permohonan?

Permohonan kemasukan akan dibuka pada Januari atau Februari setiap tahun dan setiap permohonan dikenakan bayaran melalui pembelian No. Unik ID.

2. Bagaimanakah cara untuk membeli No. Unik ID tersebut dan berapa harga No. Unik ID?

No. Unik ID boleh dibeli dengan cara berikut:-

Pembelian secara individu melalui Kaunter BSN dan jika pemohon/ ibu bapa memiliki akaun GIRO BSN, pembelian boleh dibuat melalui Automated Teller Machine (ATM) dan perbankan internet (myBSN). Harga No. Unik ID adalah RM15.60. 

3. Semasa mengisi borang permohonan dalam talian, saya telah membuat kesilapan dalam mengisi jenis kategori. Adakah permohonan tersebut masih diproses oleh pihak BKPA?

Ya, masih diproses. Walau bagaimanapun, pemohon perlu memaklumkan kepada pihak BKPA, JPT terlebih dahulu melalui Sistem Maklum balas UPU kerana kesilapan dalam mengisi kategori akan menyukarkan proses permohonan. Pertukaran kategori ini hanya boleh dibuat sebelum tarikh tutup permohonan. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan ke: https://online.moe.gov.my/upu/maklumbalas/

4. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya saya terlupa kata laluan dan masih tidak boleh menukar kata laluan walaupun menggunakan fungsi “terlupa kata laluan” yang telah disediakan.

Pemohon perlu menghubungi talian hotline UPU (03-8870 8200) untuk bantuan mendapatkan kata laluan yang telah didaftarkan. Sebarang pertanyaan boleh juga dikemukakan ke:https://online.moe.gov.my/upu/maklumbalas/

5. Adakah saya perlu menghantar sebarang salinan dokumen/ sijil sebagai bukti bagi proses permohonan kemasukan?

Sekiranya pemohon merupakan lepasan SPM/ STPM/ Matrik/ Asasi/ STAM tahun semasa, anda tidak perlu menghantar sebarang salinan dokumen/ sijil. BKPA JPT melaksanakan proses padanan dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Peperiksaan, Majlis Peperiksaan Malaysia, Bahagian Sukan, Kokurikulum & Kesenian KPM dan sebagainya bagi memastikan data peribadi, keputusan peperiksaan, markah MUET dan markah kokurikulum adalah tepat. Walau bagaimanapun, jika anda merupakan pelajar Lepasan STPM/Setaraf dalam Kategori Diploma/Setaraf, anda perlu memuat naik beberapa dokumen penting dalam Sistem UPUOnline.

6. Bagaimana cara pengisian ruangan no. kad pengenalan di maklumat bapa/ penjaga jika bapa saya bukan taraf warganegara?

Ruangan tersebut hanya menerima maklumat ibu/bapa/penjaga yang bertaraf warganegara dan mempunyai no kad pengenalan/ MyKad. Oleh itu, kemukakan maklumat penjaga yang lain seperti bapa/ ibu saudara atau sesiapa yang mempunyai hubungan keluarga terdekat sahaja. Pastikan penjaga lain tersebut mempunyai no. kad pengenalan/ MyKad.

7. Adakah saya diberi peluang untuk membuat kemas kini permohonan disebabkan kesilapan dalam mengisi permohonan?

Anda masih boleh mengemas kini permohonan tanpa sebarang had sepanjang tempoh permohonan. Namun demikian, anda perlu memastikan kemas kini maklumat hanya dilakukan oleh anda sendiri tanpa melibatkan mana-mana pihak ketiga. BKPA JPT tidak bertanggungjawab atas kesilapan maklumat yang dimasukkan.

8. Saya cuba klik pautan SLIP dalam UPUOnline, tetapi tiada sebarang paparan Slip Permohonan UPUOnline dipaparkan. Mengapakah perkara ini berlaku?

Perkara ini berlaku kerana anda tidak berjaya mengemukakan permohonan. Mungkin anda tidak klik ‘Sah & Hantar’ atau berlakunya gangguan internet semasa mengemukakan permohonan. Anda perlu pastikan klik ‘Sah & Hantar’ dan pastikan juga Slip Permohonan UPUOnline dipaparkan dan dicetak/ disimpan sebagai rujukan bagi setiap permohonan. Pastikan Slip Permohonan UPUOnline adalah lengkap dengan maklumat permohonan.

9. Saya telah menyelesaikan permohonan sehingga sah dan hantar, namun mengapakah saya tidak memperolehi slip pengesahan permohonan?

Slip pengesahan permohonan tidak akan dihantar kepada anda. Anda boleh mendapatkan slip permohonan dalam borang UPUOnline sebelum tarikh tutup permohonan. Anda perlu log masuk UPUOnline seperti biasa dan tekan pada pautan menu SLIP pada sebelah kanan laman. Selepas itu, slip permohonan UPUOnline akan dipaparkan dalam format PDF. Anda boleh mencetak terus atau menyimpan / save fail pdf tersebut.

10Adakah saya akan ditawarkan dengan program pengajian yang tidak dipilih dalam UPUOnline?

Anda hanya akan ditawarkan pilihan program yang ada dalam pilihan sahaja. Jika anda tidak berjaya pada ambilan pertama, anda perlu mengemukakan permohonan rayuan.

11. Saya telah memilih program bertemuduga semasa rayuan. Adakah saya akan dipanggil temuduga?

Panggilan temuduga dan kaedah yang akan digunakan tertakluk kepada universiti yang dipohon berdasarkan program pengajian berkenaan.

12. Sekiranya saya menolak tawaran program yang diberikan, bolehkah saya membuat permohonan rayuan?

Rayuan hanya dibenarkan kepada calon yang gagal mendapat sebarang tawaran. Calon yang ditawarkan dalam program (Diploma/Asasi/Ijazah) sama sekali tidak dibenarkan untuk membuat sebarang rayuan. Tawaran adalah muktamad. Calon yang mendapat tawaran di peringkat sijil boleh membuat rayuan diperingkat Diploma/Asasi.

 

LEPASAN SPM

1. Saya telah tersilap daftar No. Kad Pengenalan (NO. KP) semasa pendaftaran peperiksaan SPM, adakah saya boleh memohon UPUOnline?

Boleh. Masukkan No. KP yang silap semasa pendaftaran peperiksaan SPM pada ruangan No. Kad Pengenalan Semasa Pendaftaran Peperiksaan dalam UPUOnline.

2. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya saya membuat semakan semula keputusan SPM?

Pemohon perlu memaklumkan kepada BKPA, JPT dan melampirkan sekali keputusan terkini bagi tujuan pengesahan. BKPA, JPT akan membuat padanan semula dengan Lembaga Peperiksaan untuk mendapatkan keputusan SPM terkini.

3. Bagaimana untuk membuat rayuan bagi lepasan SPM yang tidak mendapat tempat di Universiti Awam (UA)?

Calon Lepasan SPM yang gagal untuk kemasukan ke Universiti Awam (UA) boleh mengemukakan rayuan melalui UPUOnline Rayuan di http://upu.moe.gov.my mulai 5pada hari hebahan pertama keputusan. Rayuan boleh di buat dalam tempoh lima (5) hari bekerja.

4. Sekiranya saya membuat rayuan ke Politeknik/ Kolej Komuniti/ ILKA dan Universiti Awam, adakah peluang rayuan ke Universiti Awam saya akan terjejas?

Proses rayuan ke Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA tidak akan menjejaskan permohonan rayuan ke Universiti Awam.

5. Saya merupakan pelajar SKM Tahap 3 dan ingin memohon Bolehkah lepasan SKM membuat permohonan UPUOnline?

UPUOnline hanya dibuka kepada calon yang memiliki SPM sahaja. Bagi pemohon lepasan SKM, pemohon perlu membuat permohonan melalui UPUSkills.

6. Saya merupakan pelajar lepasan SPM bukan tahun semasa, pada tahun tersebut keputusan Bahasa Melayu saya tidak mendapat kepujian, dan saya menduduki kertas Julai Bahasa Melayu dan mendapat kepujian. Bolehkah saya menggunakan keputusan Bahasa Melayu yang terkini?

Pihak BKPA hanya mengambil keputusan penuh dan keputusan kertas Julai tidak diambil kira dalam pemprosesan kemasukan lepasan SPM.

 

LEPASAN STPM/ SETARAF

1. Siapakah yang boleh membuat pengesahan untuk dokumen bagi kategori Diploma setaraf?

Setiap salinan dokumen yang dimuat naik hendaklah mendapatkan ‘Salinan Diakui Sah’ daripada mana-mana pegawai kakitangan kerajaan gred 41 dan ke atas, Pengetua/Guru Besar /mana-mana ketua kampung/penghulu dan lain-lain.

2. Adakah permohonan UPUOnline boleh dibuat sekiranya saya masih belum mengambil MUET semasa permohonan dibuka?

Pemohon masih boleh mengemukakan permohonan UPUOnline sekiranya masih belum mengambil MUET semasa permohonan dibuka. Namun begitu, anda perlu memiliki keputusan MUET selewat-lewatnya sebelum tarikh tutup permohonan UPUOnline bagi membolehkan pemilihan program pengajian dibuat. Walau bagaimanapun, sila lihat dan ikuti pemakluman semasa yang dibuat oleh BKPA.

3. Untuk permohonan melalui UPUOnline bagi lepasan STPM, kenapa tiada ruangan untuk saya muat naik dokumen atau sijil-sijil berkaitan? Bagaimanakah pihak UPU pastikan keputusan STPM calon yang di guna pakai adalah tepat?

Bagi calon lepasan SPM/ STPM/ STAM dan juga Asasi UiTM/ Asasi Sains UM/ Matrikulasi KPM, keputusan peperiksaan bagi calon lepasan ini diperolehi secara terus daripada agensi seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia (SPM dan STAM), Majlis Peperiksaan Malaysia (STPM), Pusat Asasi UM, Asasi UiTM dan juga Bahagian Matrikulasi KPM (Asasi/Matrikulasi KPM).

4. Bagaimana saya boleh mengetahui bahawa saya dipanggil untuk temu duga atau ujian seperti Ujian MEdSI?

Anda perlu menyemak di laman web UA/ IPG/ Matrik/ Politeknik/ Kolej Komuniti dan ILKA yang berkaitan. Pihak UA/ Politeknik/ Kolej Komuniti dan ILKA yang berkaitan juga akan turut menghubungi anda untuk memaklumkan mengenai panggilan temu duga/ Ujian.

5. Bagaimana untuk membuat rayuan bagi lepasan STPM yang tidak mendapat tempat di Universiti Awam (UA)?

Anda boleh mengemukakan rayuan atas talian yang akan dibuka terus pada hari hebahan. Permohonan rayuan hanya dalam sepuluh (10) hari selepas keputusan permohonan kemasukan diumumkan.

6. Saya pelajar STPM dan ingin membuat rayuan akan tetapi pilihan program yang saya inginkan tiada dalam pilihan, boleh saya tahu kenapa saya tidak boleh memilih program tersebut?

Pilihan program yang tertera mengikut kelayakan dan kekosongan tempat yang di tawarkan oleh Universiti Awam.

7. Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya saya telah tamat/ berhenti belajar di universiti lama namun berdasarkan semakan BKPA,JPT, status saya masih aktif di universiti tersebut?

Pemohon diminta untuk membuat semakan dengan pihak universiti untuk pengesahan status belajar dan mengemukakan bukti tamat belajar/berhenti melalui emel rasmi BKPA iaitu Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

8. Jika saya tidak mendapat panggilan temuduga, bolehkah saya melakukan rayuan bagi program bertemuduga sekiranya saya gagal mendapat sebarang tawaran?

Boleh, sekiranya program bertemuduga tersebut ditawarkan semasa permohonan rayuan berdasarkan kekosongan tempat dan melepasi syarat khas program.

9. Saya mengambil semula ujian MUET dan mendapat keputusan tersebut selepas UPUOnline ditutup. Bagaimana saya hendak mengemaskini keputusan MUET yang terkini supaya saya dapat menukar pilihan program yang sebelum ini tidak layak disebabkan keputusan MUET yang terdahulu?

BKPA JPT akan memadankan keputusan MUET dengan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dan calon tidak perlu mengemaskini keputusan tersebut. Jika anda gagal mendapat mana-mana tawaran semasa hebahan perdana, pemohon boleh mengemaskini pilihan program semasa permohonan rayuan UPUOnline dibuka berdasarkan keputusan MUET yang terkini.

10. Adakah saya boleh menukar pilihan program dan memohon program bertemuduga untuk permohonan UPUOnline kedua bagi lepasan Asasi dan Matrikulasi?

Pemohon hanya boleh mengemaskini pilihan program yang TIDAK bertemuduga ketika fasa 2 UPUOnline dibuka.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 19787
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 21 Mei 2024, 15:10:04.