Usaha KPT Meningkatkan Kebolehpasaran Graduan Semasa Pandemik COVID-19
PANDEMIK COVID-19 telah memberikan kesan negatif terhadap ekonomi di kebanyakkan negara di dunia.
Penutupan atau pengoperasian bukan pada skala penuh oleh sektor-sektor ekonomi bagi mengekang penularan virus ini telah menyebabkan berlakunya penguncupan dan menjejaskan pasaran pekerjaan negara.
Seperti mana laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia kadar pengangguran khususnya dalam kalangan siswazah telah meningkat sebanyak 0.4% pada tahun 2020 berbanding 2019.
Hakikatnya, situasi ini memberikan cabaran besar kepada graduan yang aktif mencari pekerjaan apabila kebanyakan syarikat mula membekukan pengambilan pekerja, mengecilkan saiz perniagaan, bahkan ada syarikat yang terpaksa menutup operasi kesan daripada pandemik yang berlaku.
Bagi graduan-graduan yang baru menamatkan pengajian, mereka ini menerima cabaran yang lebih besar dalam persaingan untuk mendapatkan pekerjaan memandangkan kelompok graduan ini belum mempunyai pengalaman bekerja.
Dari sudut kebolehpasaran graduan, kadar pada tahun 2020 adalah sebanyak 84.4%, menurun sedikit sebanyak 1.8 peratus daripada kadar pada tahun 2019 sebanyak 86.2%.
Kadar ini dalam erti kata mudah mengesan status kebolehpasaran seseorang graduan yang baru menamatkan pengajian dalam tempoh enam (6) bulan untuk mendapatkan pekerjaan atau melanjutkan pengajian atau mendapatkan latihan peningkatan kemahiran.
PENJANA KPT-CAP, PENJANA KPT-PACE JANJI PENEMPATAN PEKERJAN
Semakin tinggi kadar kebolehpasaran graduan, semakin tinggi kualiti graduan yang dihasilkan oleh IPT dan berupaya memenuhi permintaan industri.
Kadar kebolehpasaran graduan amat berkait rapat dengan prestasi ekonomi dan pasaran pekerjaan negara. Oleh yang demikian, kerjasama secara kolektif dan bersama dengan semua pihak amat perlu dalam memastikan kadar kebolehpasaran graduan ini dapat ditingkatkan lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik yang sedang melanda negara dan dunia.
Antara inisiatif yang sedang giat dijalankan adalah program peningkatan kemahiran melalui dana Pelan Jana Semula Ekonomi atau PENJANA. Melalui insiatif tersebut, Kementerian telah melaksanakan dua program yang berkonsepkan latihan peningkatan kemahiran dan pensijilan profesional untuk membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan iaitu PENJANA KPT-CAP atau Career Advancement Programme dan PENJANA KPT-PACE atau Profesional Certification.
Sasaran peserta bagi kedua-dua program ini adalah pelajar tahun akhir dan graduan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) (termasuk universiti awam, politeknik dan kolej komuniti) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi tahun 2019, 2020 dan 2021 yang masih belum bekerja. Uniknya kedua-dua program ini, menjanjikan penawaran penempatan pekerjaan kepada para peserta sebaik sahaja mereka menamatkan latihan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Selain itu, KPT juga saban tahun menjalankan program-program intervensi kebolehpasaran graduan yang memberi fokus kepada pelajar tahun akhir dan graduan IPTA yang rendah CGPA dengan memberikan kemahiran tambahan kepada mereka untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran.
Peserta program-program ini juga akan ditawarkan penempatan pekerjaan oleh industri sebaik sahaja mereka menamatkan latihan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan. Di samping itu, KPT turut melaksanakan program-program keusahawanan kepada pelajar untuk menggalakkan mereka menceburi bidang ini.
Pada tahun 2020 sahaja, lebih 68,000 pelajar di IPT telah menjalankan perniagaan semasa dalam pengajian dan daripada jumlah tersebut hampir 8,000 pelajar telah meneruskan kerjaya perniagaan mereka selepas menamatkan pengajian.
Dalam masa yang sama, kementerian juga sentiasa meningkatkan kerjasama antara pihak industri dan akademia di IPT, bukan hanya tertumpu kepada pelaksanaan program secara one-off, tetapi melibatkan inisiatif yang lebih bersifat jangka sederhana dan panjang seperti semakan semula modul dan program pengajian; penambahbaikan kurikulum serta penyediaan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lebih bersifat ‘industry driven’ kepada pelajar.
PORTAL GREAT BANTU TINGKATAN KEMAHIRAN GRADUAN
Permohonan untuk menyertai program-program tersebut masih lagi dibuka dan graduan boleh melayari Portal GREaT, KPT untuk mendapatkan maklumat lanjut. Selain permohonan program, graduan juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan dengan tawaran pekerjaan; peluang untuk menyambung pengajian; permohonan kemudian penajaan pengajian; serta latihan peningkatan kemahiran yang dianjurkan daripada pelbagai agensi.
Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Shaharuddin Abu Sohot turut menyeru graduan untuk merebut peluang yang disediakan.
“Saya menyeru graduan-graduan, universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan IPTS tahun 2019, 2020 dan 2021 untuk berusaha merebut peluang yang ada kerana semua program-program kementerian ini disediakan secara percuma untuk anda. Anda boleh layari pautan laman sesawang https://great.mohe.gov.my/. ,” katanya.
Jelas beliau, antara penambahbaikan baharu yang dilaksanakan terhadap portal ini adalah dengan memperkenalkan modul ‘Jobmatching’ yang berupaya menemupadankan graduan dengan keperluan pihak syarikat atau industri.
Apa yang menariknya modul ini diperkenalkan menerusi konsep “Industri Jejak Graduan” kerana melalui modul ini, graduan tidak perlu memohon pekerjaan seperti mana portal pencarian pekerjaan sedia ada kerana data graduan telah disimpan di dalam Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang sedia ada di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Oleh itu, melalui modul ini kriteria tenaga kerja yang diperlukan oleh syarikat atau industri akan dipadankan dengan data atau maklumat graduan di KPT.
Portal ini akan bertindak memadankan menggunakan kaedah tapisan multi-kriteria dan pemeringkatan (ranking) yang terdapat dalam modul ini. Industri boleh memilih graduan mengikut kriteria yang mereka perlukan seperti program pengajian dan peringkat pengajian, nama/jenis IPT, CGPA, negeri bermastautin, band MUET, kemahiran bahasa ketiga, kemahiran ICT dan lain-lain.
Modul ‘Jobmatching’ ini bukanlah untuk bersaing dengan portal-portal mencari pekerjaan yang sedia ada di luar sana tetapi modul ini bertindak sebagai pelengkap kepada portal-portal tersebut.
Bagi memastikan keselamatan dan kerahsiaan data dilindungi dalam modul JobMatching@GREaT> ini, maka aspek tadbir urus dan ciri-ciri keselamatan perkongsian data telah diambilkira dalam pembangunan modul tersebut.
Kebolehpasaran graduan sebenarnya juga bukan hanya menjadi tanggungjawab KPT semata-mata tetapi ia perlu menjadi satu isu bersama yang perlu ditangani oleh semua pihak sama ada Kementerian-kementerian, Jabatan dan Agensi, para akademia, pelajar mahupun di pihak industri sebagai entiti akhir yang akan menerima graduan-graduan yang dilahirkan oleh IPT.
Di peringkat KPT, Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025, dibangunkan dan akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Melalui empat (4) strategi, 13 inisiatif dan 31 aktiviti yang digariskan, Pelan ini akan menjadi panduan induk kepada IPT untuk memastikan kebolehpasaran graduan mereka kekal berdaya saing serta memenuhi keperluan industri.
Antara fokus yang ditekankan oleh Pelan ini adalah penerapan elemen kemahiran abad ke-21; dan Future Ready Curiculum atau Kurikulum Tersedia Masa Hadapan yang selari dengan keperluan industri kepada pelajar di IPT.
Kemahiran abad ke-21 merupakan kemahiran-kemahiran yang telah dikenal pasti sebagai kemahiran penting yang perlu ada pada setiap graduan untuk memasuki alam pekerjaan seperti kemahiran literasi teknologi, maklumat dan komunikasi; kreativiti dan inovasi; ‘critical thinking’ dan sebagainya.
Manakala Kurikulum Tersedia Masa Hadapan pula merupakan struktur kurikulum yang bersifat organik dan fleksibel, yang menekankan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang transformatif serta membolehkan pentafsiran alternatif dilaksanakan ke atas pelajar.
Melalui pendekatan ini, kita yakin graduan yang lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan di masa hadapan dalam bidang masing-masing akan dapat dilahirkan oleh IPT.
Shaharuddin turut berharap graduan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di industri, bukan hanya di peringkat tempatan bahkan di peringkat global.
“Adalah menjadi harapan saya dan KPT untuk melihat graduan-graduan yang dilahirkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi negara dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di industri, bukan hanya di peringkat tempatan bahkan di peringkat global.
“Perkara ini tidak mustahil untuk dicapai. Dengan panduan yang disediakan melalui Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan yang dibangunkan ini dan kerjasama semua pihak sama ada di pihak kerajaan, industri, IPT, tenaga pengajar mahupun pelajar sendiri, Insyaallah, saya percaya kita akan mampu untuk hasilkan bakat-bakat yang berkualiti dan berpotensi tinggi.
“Kepada graduan yang masih lagi belum bekerja rebutlah peluang untuk mengikuti program-program peningkatan kemahiran yang ditawarkan oleh pelbagai agensi kerajaan untuk meningkatkan kompetensi diri anda. Yakinlah, usaha tanpa jemu anda pasti akan membuahkan hasil,” tambahnya. -WILAYAHKU
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 36848