Program TVET mampu lahirkan graduan premium

Sumber : Suara Sarawak

KUCHING: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu melahirkan graduan yang premium selepas tamat pengajian, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Menurutnya, laluan tersebut sememangnya mampu untuk melahirkan tenaga pekerja yang berkualiti, malah kebolehpasaran pelajar melebihi 90 peratus dalam industri.

Untuk itu katanya, TVET perlu dijadikan sebagai salah satu pilihan utama untuk menyambung pengajian bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bidang akademik sememangnya menjadi pilihan utama para pelajar, namun mereka perlu tahu bahawa ia merupakan satu bidang yang sangat kompetitif.

“Tetapi, mereka juga perlu tahu bahawa TVET juga mampu melahirkan tenaga pekerja yang diterima oleh industri supaya tiada yang menganggur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berucap pada Sesi Randau Bersama Warga Politeknik Kuching Sarawak, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memperkasakan lagi TVET di peringkat nasional supaya dapat menarik lebih ramai pelajar untuk menyertai program yang disediakan di institutsi tersebut.

Oleh itu tambahnya, kefahaman ibu bapa dan pelajar perlu ditingkatkan agar mereka lebih memahami matlamat TVET dalam melahirkan pelajar yang mampu berdaya saing dalam industri pekerjaan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 8285
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 29 Mei 2024, 21:46:47.