KPT tumpu penjajaran semula pasaran buruh dalam RMK-12
SEIRING dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memberi tumpuan kepada penjajaran semula pasaran buruh serta pendidikan TVET untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mampan serta pembangunan bakat tersedia yang akan memenuhi keperluan masa hadapan terutama dalam mendepani fasa endemik di Malaysia.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataannya berkata seramai 21 peneraju industri telah dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Industri JPPKK dari sembilan bidang utama program-program yang ditawarkan di Politeknik dan Kolej Komuniti.
“Majlis Penasihat Industri JPPKK merupakan platform peneraju kepada industri dalam memberikan maklum balas dan cadangan yang berkaitan dengan penambahbaikan ekosistem TVET.
“Majlis Penasihat Industri JPPKK juga bertindak sebagai penghubung kerjasama antara jabatan dan industri dalam melahirkan serta menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri,” katanya.
Tambahnya Tan Sri Datuk Sufri Md Zin telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Industri JPPKK menggantikan Tan Sri Datuk Azman Datuk Haron Shah yang telah menyumbang khidmat bakti sejak Majlis Penasihat Industri JPPKK ditubuhkan April 2008.
Dalam pada itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika mempengerusikan Persidangan Meja Bulat dan Mesyuarat Penasihat Industri JPPKK bagi tahun 2021 berkata, platform tersebut bagi mendapatkan cadangan serta maklum balas.
“Platform yang disediakan ini adalah untuk mendapatkan cadangan dan maklum balas pihak industri terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kementerian bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti.
“JPPKK telah banyak menjalinkan kerjasama dengan pihak industri melalui pelbagai inisiatif seperti WBL@POLYCC, Structured Internship Programme (SIP), CEO@PolyCC, Industry On Campus, sumbangan dari industri dalam bentuk kewangan pengajian dan lain-lain,” jelas Noraini. -WILAYAHKU
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 7544