KPT - KPT kurangkan yuran universiti 10 hingga 35 peratus

KPT kurangkan yuran universiti 10 hingga 35 peratus

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan pengurangan yuran di Universiti Awam (UA) membabitkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM185.7 juta.

KPT dalam kenyataan, memaklumkan ia akan memanfaatkan seramai 386,142 pelajar untuk tempoh tiga semester.

Katanya, inisiatif yang dilaksanakan membabitkan pengurangan Yuran Perkhidmatan, Yuran Asrama, Yuran Konvokesyen dan Yuran Aktiviti Kolej antara 10 sehingga 35 peratus bermula Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 sehingga hari ini.

"Pengurangan yuran bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 untuk semua pelajar warga Malaysia membabitkan peruntukan sebanyak RM75 juta yang mana RM20 juta adalah peruntukan tambahan kerajaan dan RM55 juta menggunakan sumber dalaman UA.

"Bagi Semester Pertama Sesi Akademik 2020/2021, pengurangan yuran sebanyak RM70.2 juta diberikan oleh UA, manakala bagi Sesi Kedua Sesi Akademik 2020/2021 pula pengurangan sebanyak RM40.5 juta," katanya.

KPT dalam kenyataan itu berkata, pihaknya sentiasa mendengar dan memahami keluhan ibu bapa dan pelajar yang terkesan sepanjang setahun pandemik COVID-19 yang mencabar ini.

Justeru katanya, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menerusi surat edaran bertarikh 22 Mac 2021 sudah meminta UA supaya memberikan kelonggaran dan pertimbangan sewajarnya terhadap tuntutan bayaran yuran, terutamanya terhadap pelajar yang terjejas dan menghadapi masalah kewangan.

"Langkah diambil ini jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam menangani bebanan kewangan yang dihadapi oleh pelajar dan ibu bapa.

"Kementerian juga berpandangan bahawa kadar pengurangan yuran dinyatakan itu adalah munasabah memandangkan 20 UA terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi.

"Selain itu UA juga perlu menggunakan sumber peruntukan dalaman universiti susulan penurunan penjanaan pendapatan menerusi yuran pelajar serta pengurangan peruntukan mengurus oleh kerajaan berikutan pandemik yang dihadapi kini," katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa KPT menurunkan yuran UA selaras dengan tuntutan mahasiswa yang belajar secara dalam talian saja.

Pengerusinya, Dr Maszlee Malik, dilaporkan berkata penurunan yuran dengan cara mengecualikan beberapa yuran berkaitan selari dengan keadaan pandemik dan ekonomi ketika ini.

Namun katanya, pada masa sama subsidi tambahan perlu diberikan kepada pihak universiti bagi menampung kos pengurusan universiti melalui geran khas dalam tempoh pandemik ini.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1419
Logo KPT
Portal Rasmi Kementerian Pengajian Tinggi © Hak Cipta Terpelihara
Kemaskini terakhir: Rabu 20 Oktober 2021, 12:04:11.