KPT - Enam kategori pelajar dibenarkan pulang ke kampus seawal 1 Mac – KPT

Enam kategori pelajar dibenarkan pulang ke kampus seawal 1 Mac – KPT

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membenarkan enam kategori pelajar berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac ini bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid, iaitu secara fizikal dan secara dalam talian.

Enam kategori pelajar itu ialah pelajar dari program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas; pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian dan pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.

Selain itu semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom; pelajar Berkeperluan Khas (OKU); dan pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University EnglishTest (MUET), antarabangsa dan badan profesional turut dibenarkan kembali ke kampus.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pelaksanaan PdP secara hibrid di dalam kampus boleh dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar.

“Pelajar yang tidak termasuk dalam kategori pelajar berkeperluan pula akan meneruskan PdP secara dalam talian,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, para pelajar berkeperluan dari Semenanjung yang akan pulang ke kampus IPT di Sabah dan Sarawak diwajibkan untuk menjalani Ujian Swab yang akan
dibiayai oleh KKM.

“Bagi pelajar yang tiba di Sarawak, mereka diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke kampus.

“Kos makan minum dan kuarantin mulai 1 Mac 2021 akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak,” ujarnya.

MGF01092019 PELAJAR BARU UPM02

Sementara itu, bagi pelajar berkeperluan dari Sabah dan Sarawak, mereka akan ditempatkan di pusat pengasingan yang ditentukan oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing bagi memastikan bebas daripada sebarang gejala Covid-19.

Menurut kenyataan itu, selain ketetapan pergerakan pelajar IPT yang dinyatakan itu, para pelajar turut disaran untuk merujuk kepada SOP Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang sedang berkuat kuasa.

IPT juga boleh merujuk kepada SOP Sektor Pengajian Tinggi sedia ada yang telah diwartakan merangkumi aspek pengoperasian IPT bagi semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya.

Para pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai urusan kemasukan ke IPT melalui Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870-6777/6949/ 6623/ 6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing.

– MalaysiaGazette

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1311
Logo KPT
Portal Rasmi Kementerian Pengajian Tinggi © Hak Cipta Terpelihara
Kemaskini terakhir: Rabu 20 Oktober 2021, 12:04:11.