5 formula pulihkan kepercayaan pendidikan tinggi negara

2023 02 28 liputan media

Sumber : Berita Harian

Jika baju kalis peluru dirujuk untuk menggambarkan keupayaannya mencegah peluru menembusinya, sejauh manakah pendidikan tinggi hari ini teguh menangkis 'serangan' pergolakan, ketidakpastian, kompleks dan kekaburan (VUCA) sukar diramal impaknya.

Ketika ini, ada pihak cenderung berbangga 'liga penarafan' semata-mata dengan melihatnya sebagai pengkomersialan pendidikan, terkini penyunting dan penerbit jurnal berdebat mengenai teknologi ChatGPT, CHAT Generative Pretrained Transformer.

Kemunculan teknologi berkenaan menimbulkan kebimbangan terhadap keperluan dasar tuntas apabila perisian kecerdasan buatan (AI) oleh syarikat OpenAI muncul antara penulis dalam beberapa artikel sudah dan bakal diterbitkan.

Sebagai tonggak negara bangsa, pendidikan tinggi memikul beban pembuktian hebat. Tekanannya begitu jelas apabila Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi prolog amanatnya dengan tegas berbicara perihal memulih dan mengembalikan kepercayaan pendidikan tinggi negara.

Mengapa agaknya soal kepercayaan ingin dirungkai? Pasti ada puncanya. Justeru, bagi mengembalikan elemen 'kepercayaan' ke tempat sepatutnya, mungkin ia memerlukan formula khas untuk dilaksana warga keluarga pendidikan tinggi.

Pertama, sinergi. Memimpin perubahan pendidikan tinggi memerlukan sinergi pada semua peringkat. Contohnya, tahap kerjasama antara lembaga pengarah universiti (LPU), jawatan kuasa eksekutif (JKE), senat, kesatuan staf dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), bersama keseluruhan warga staf dan pelajar mesti dinilai secara telus.

Tindakan memulih dan mengembalikan kepercayaan mesti bermula dari dalam institusi. Hubungan inklusif semua peringkat perlu disuburkan menerusi pelbagai mekanisme. Kepemimpinan berkaitan tindakan, bukan hanya kedudukan. Mengurus universiti tidak boleh dilakukan hanya menerusi sekeping pekeliling atau menggunakan frasa 'ini arahan orang atas, ikut sahaja.'

Bekerja dalam keadaan merugikan

Kedua, struktur. Dengan jangkaan terhadap pendidikan tinggi semakin mencabar, bekerja dalam keadaan silo amat merugikan. Contohnya, masih relevankah mengurus universiti menerusi portfolio utama seperti 'akademik dan antarabangsa', 'hal ehwal pelajar dan alumni' serta 'penyelidikan dan inovasi'?

Pastinya dikotomi tradisi ini dikatakan memudahkan pengurusan, namun cabaran agenda kemenjadian mahasiswa sebenarnya harus diurus secara inklusif. Seorang pelajar berkualiti bukan hanya dibentuk menerusi hebatnya sistem fakulti, malah fungsi kolej kediaman dan kegiatan kesukarelawanan, keusahawanan dan sukan tidak boleh diketepikan kerana semuanya saling melengkapi.

Ketiga, sistem. The Global Risks Report 2022 menjelaskan kecelaruan global dalam tempoh 10 tahun mendatang akan lebih menggusarkan. Ketidaktentuan ini memerlukan negara menyediakan modal insan bukan lagi hanya untuk pasaran kerja, malah menjadi 'ejen perubahan' kalis terhadap ancaman ekonomi global, persekitaran, geopolitik, kemasyarakatan dan teknologi.

Justeru, mampukah sistem pendidikan tinggi masih taasub kepada pensyarah dan peperiksaan, mengukur kecemerlangan dengan berapa banyak gred A diperoleh atau penawaran program pengajian tanpa tawaran jualan unik (USP), mampukah pendidikan tinggi menjadi impian mengujakan.

Keempat, strategik. Impian mengangkat pendidikan tinggi memerlukan pemimpin bukan hanya kelihatan sibuk merasmikan majlis atau ingin dihormati kerana posisinya atau pemimpin mengisi bangku jawatan demi manfaat peribadi diperlukan ialah wira nakhoda pelayaran penuh hikmah menjunjung integriti dan dedikasi.

Kelima, sejahtera. Pendidikan tinggi mesti membentuk ekosistem kampus sejahtera berpaksikan ihsan. Pelajar mesti dididik dengan kasih sayang. Jika ingin melahirkan pelajar mandiri segenap segi, mustahil dapat dihasilkan menerusi ekosistem tidak saling melengkapi. Pembangunan bakat dan pengiktirafan kepada semua warga institusi hendaklah diperhalusi.

Penulis adalah Jabatan Kejuruteraan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 16908
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim