KENYATAAN MEDIA
WACANA STRATEGI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI MEMETA HALA TUJU PENDIDIKAN TINGGI NEGARA
Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Pelaksanaan program ini bertujuan untuk menyediakan wahana kepada semua pihak berkepentingan dalam landskap pendidikan tinggi khususnya golongan akademia, pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta serta pihak industri yang memberi sumbangan signifikan terhadap pemerkasaan agenda pendidikan tinggi negara.
Sesi wacana selama dua (2) hari pada 5 hingga 6 Januari 2024 ini amat kritikal bagi memeta hala tuju pendidikan tinggi negara supaya sejajar dengan aspirasi nasional di bawah Kerangka Ekonomi MADANI. Sesi ini juga memberi peluang kepada semua pemegang taruh dalam sektor pendidikan tinggi untuk berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing dengan pucuk pimpinan negara dan kementerian, khususnya untuk merangka strategi dalam mendepani cabaran-cabaran masa kini dan akan datang. Ia penting bagi memastikan sektor pendidikan tinggi negara menyokong kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam mencapai aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada segenap lapisan rakyat.
Objektif pelaksanaan wacana ini adalah bagi:
- Merangka hala tuju strategik KPT berdasarkan aspirasi YAB Perdana Menteri Malaysia serta pemegang taruh KPT;
- Menyelaras semula pelaksanaan strategi KPT;
- Mencadangkan program dan inisiatif berdasarkan kluster perancangan hala tuju KPT; dan
- Membincangkan isu-isu strategik berkaitan KPT dan cadangan
Seramai 500 orang peserta hadir bagi menjayakan pelaksanaan program pada hari ini. Pelaksanaan objektif wacana ini diterjemahkan dalam bentuk beberapa sesi pembentangan dan forum secara interaktif yang dibarisi oleh para pembentang dan ahli panel yang berwibawa serta pakar dalam bidang masing-masing. Inti pati perbincangan dalam semua sesi ini nanti akan digunakan sebagai input bagi hala tuju pendidikan tinggi negara dan membangunkan pelan pendidikan tinggi yang baharu yang akan tamat tempoh pada tahun hadapan.
Kementerian yakin dengan sinergi sumbangan idea daripada semua pemegang taruh dalam wacana ini akan menghasilkan strategi berimpak tinggi dan berkesan bagi memacu landskap pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih cemerlang.
Kementerian Pendidikan Tinggi
5 Januari 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 7169