SIARAN MEDIA
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI ADAKAN LAWATAN KERJA KE ARAB SAUDI DAN TURKIYE, BINCANG ISU PEMBANGUNAN PENDIDIKAN TINGGI
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir akan mengadakan lawatan kerja ke dua buah negara iaitu Arab Saudi (27-29 Februari 2024) dan Republik Turkiye (1-3 Mac 2024).
Lawatan kerja YB Menteri Pendidikan Tinggi ke Arab Saudi adalah sempena memenuhi jemputan daripada rakan sejawat beliau iaitu Menteri Pendidikan Arab Saudi, TYT Yousef bin Abdullah Al- Benyan untuk menghadiri Persidangan Human Capability Initiative (HCI) di Riyadh, Arab Saudi.
HCI ialah persidangan antarabangsa di bawah naungan Putera Mahkota, Perdana Menteri dan Pengerusi Human Capability Development Program Arab Saudi, DYMM Putera Mohammed bin Salman bin Abdul Aziz Al Saud, yang menghimpunkan pemimpin dan pemikir global yang terdiri daripada penggubal dasar, sektor korporat, pelaburan dan akademik untuk menghasilkan potensi, memangkinkan kerjasama antarabangsa dan memaksimumkan daya tahan dalam bidang pembangunan keupayaan manusia.
Di persidangan dengan tema #FutureReadiness, YB Menteri Pendidikan Tinggi akan menyertai sesi panel bersama dengan Menteri Pendidikan Arab Saudi, TYT Yousef bin Abdullah Al- Benyan bagi mengupas persoalan berkaitan sistem pendidikan dan asas yang diperlukan untuk memupuk tenaga kerja yang berdaya tahan masa kini. YB Menteri Pendidikan Tinggi dijangka akan menyentuh pembangunan pendidikan tinggi dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan TVET di Malaysia.
Turut menyertai sesi panel yang sama ialah TYT Buthaina binti Ali Al Jabr AlNuaimi, Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Qatar, TYT Dr. Mohamed Bin Mubarak Juma, Menteri Pendidikan Bahrain dan TYT Gospard Twagirayezu, Menteri Pendidikan Rwanda.
Selain itu, YB Menteri Pendidikan Tinggi juga akan mengadakan kunjungan hormat masing- masing ke atas Menteri Pendidikan Arab Saudi, Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Qatar dan Menteri Pendidikan Bahrain. Turut diatur ialah lawatan kerja ke King Abdul Aziz University Jeddah dan sesi perjumpaan dengan beberapa rakan strategik pendidikan tinggi di Arab Saudi.
Lawatan kerja YB Menteri Pendidikan Tinggi ke Republik Turkiye pula adalah bagi mewakili YAB Perdana Menteri yang telah menerima jemputan untuk menghadiri dan menyampaikan ucaptama di Antalya Diplomacy Forum (ADF) 2024 yang akan berlangsung di Antalya, Republik Turkiye. ADF 2024 adalah persidangan kali ketiga yang dianjurkan oleh Kerajaan Republik Turkiye sebagai platform diplomasi antarabangsa dan diskusi intelek oleh “united minds” dunia dalam menangani cabaran global dan serantau.
Semasa di ADF 2024, YB Menteri Pendidikan Tinggi akan menyertai sesi panel bersama dengan Menteri Luar Bangladesh, TYT Hasan Mahmud, Menteri Luar Sri Lanka, TYT Tharaka Balasuriya, dan Timbalan Menteri Luar Vietnam, TYT Nguyen Minh Hang bagi membicarakan kesiapsiagaan rantau Asia Pasifik dalam mendepani isu rentas sempadan seperti perubahan iklim, keselamatan maritim dan keganasan serta kesan pembangunan digital dan teknologi baharu di rantau tersebut.
YB Menteri Pendidikan Tinggi juga dijadualkan akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Republik Turkiye, TYT Hakan Fidan.
YB Menteri Pendidikan Tinggi seterusnya akan ke Istanbul untuk menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan empat buah institusi pendidikan tinggi Republik Turkiye iaitu Karabuk University, Ankara Yildrim Beyazit University, Dicle University dan Gebze Technical University. YB Menteri juga akan menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dengan beberapa universiti di Istanbul.
Lawatan kerja YB Menteri ke Arab Saudi dan Republik Turkiye akan mengukuhkan lagi potensi Malaysia sebagai pemain utama dalam sektor pendidikan tinggi serantau dan antarabangsa khususnya di rantau Asia Barat selain membuka peluang untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala dengan kedua-dua buah negara dalam bidang pendidikan tinggi.
Penyertaan YB Menteri Pendidikan Tinggi juga di Persidangan HCI dan ADF 2024 bakal membantu Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melebarkan ruang bagi merancakkan program mobiliti pelajar, tenaga akademik, penyelidik, anggota pentadbiran serta kepimpinan sektor pendidikan tinggi negara.
Kementerian Pendidikan Tinggi
27 FEBRUARI 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 5815