SIARAN MEDIA
MEMBANGUN PPPTM 2026-2035 YANG INKLUSIF KE ARAH MENCAPAI
ASPIRASI NASIONAL
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan siri mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 Bilangan 2 Tahun 2024 sebagai usaha untuk membangunkan pelan tindakan atau blueprint baharu yang bakal berakhir pada tahun hadapan.
Mesyuarat jawatankuasa penasihat ini diadakan sebagai medium untuk Kumpulan Pakar membentangkan Laporan Interim PPPTM 2026-2035 yang menjelaskan perkembangan semasa pembangunan blueprint.
Seramai 120 ahli mesyuarat yang terdiri daripada pengurusan tertinggi KPT dan IPT, tokoh konglomerat, pemain industri utama negara dan pakar rujuk telah hadir bagi menjayakan pembangunan PPPTM 2026-2035 yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud serta Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, semalam di ibu negara.
Antara ahli Jawatankuasa Penasihat yang turut terlibat adalah Mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Sri Mustapha Mohamed dan Tan Sri Dato’ Seri Idris Jusoh; Presiden dan Pengerusi PEMANDU Associates, Dato’ Sri Idris Jala; Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Tony Fernandes serta Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Abdul Wahid Omar.
Dalam mesyuarat kali ini, ketua-ketua lonjakan membentangkan isu dan cabaran serta strategi yang diatur dalam 10 Lonjakan PPPTM 2026-2035 yang diterajui oleh Pengerusi Kumpulan Pakar, Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail.
Sehingga Oktober 2024, Kumpulan Pakar yang telah dilantik telah melaksanakan 31 sesi libat urus yang melibatkan lebih 5,000 orang pemegang taruh dengan dibantu oleh pasukan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Bahagian Dasar & Penyelidikan, KPT.
Selain itu, sebanyak 1,816 maklum balas tinjauan nasional daripada pelbagai kelompok dalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi telah dikumpul bagi mengenal pasti isu dan cabaran utama daripada pelbagai perspektif dalam pendidikan tinggi.
Secara keseluruhan, 10 lonjakan yang dibentangkan ini bersifat menyeluruh, lengkap dan mencakupi segala aspek ekosistem pendidikan tinggi. Antara elemen yang dicadangkan mengambil kira faktor ekonomi masa hadapan, faktor permintaan pasaran dan keberhasilan penyelidikan pendidikan tinggi. Panel penasihat juga seterusnya mencadangkan dasar ini disusul dengan pelan tindakan bagi memastikan kandungan dasar ini dilaksanakan seperti mana aspirasi yang diharapkan.
KPT berharap gabungan kepakaran dan maklum balas pelbagai pihak dapat menghasilkan sebuah blueprint yang praktikal untuk dilaksanakan dan memberi impak strategik kepada pembangunan bakat bagi menjayakan agenda pertumbuhan ekonomi negara.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
8 November 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 4047