logo kpt black

SIARAN MEDIA

KPT SALUR RM8.6 JUTA PERUNTUKAN TAMBAHAN BAGI PROJEK PEMBANGUNAN UTAMA IPT ZON SARAWAK


Program Semarak Kampus MADANI berlangsung dengan jayanya di zon pertama iaitu Sarawak bermula 5 hingga 6 Mac 2024.

Dihoskan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), program jelajah ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ini nyata memberi kesan signifikan terutama aspek pembangunan, infrastruktur serta Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Sepanjang dua hari program berlangsung, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengumumkan 32 projek dengan peruntukan tambahan sebanyak RM8.6 juta meliputi UNIMAS, UiTM Cawangan Sarawak dan sembilan (9) institusi di bawah JPPKK.

Peruntukan tambahan ini bagi tujuan kerja-kerja naik taraf, penyelenggaraan, penggantian dan pemasangan di fasiliti kolej kediaman, bilik kuliah, dan kemudahan IPT. Tidak ketinggalan kerja naik taraf bagi penyediaan kemudahan untuk warga Orang Kelainan Upaya (OKU).

UNIMAS menerima peruntukan terbesar sebanyak RM4.8 juta diikuti UiTM Cawangan Sarawak dengan RM2 juta. Buat julung kalinya, JPPKK telah menerima peruntukan penyelenggaraan fasiliti usang melibatkan tiga (3) Politeknik dan enam (6) Kolej Komuniti dengan peruntukan tambahan keseluruhan sebanyak RM1.88 juta.

Peruntukan tambahan ini sebagai usaha mendokong aspirasi Kerajaan MADANI bagi menyediakan fasiliti dan ekosistem pendidikan yang kondusif serta berkualiti untuk melahirkan bakat-bakat terbaik negara.

Selain aspek pembangunan, YB Menteri turut berkesempatan meluangkan masa mendekati warga menerusi beberapa sesi libat urus dan program yang melibatkan kepimpinan tertinggi kementerian dan pemegang taruh lain.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi libat urus bersama warga IPT, ‘Bicara Santai DocZam’, ‘Bedah Buku Bersama DocZam’, program rewang penyediaan juadah, dan aktiviti riadah.

YB Menteri turut berkesempatan melakukan tinjauan dan pemantauan fasiliti-fasiliti kemudahan dan kolej kediaman serta turut menginap di kolej kediaman pelajar untuk merasai pengalaman ‘kembali ke kampus’ bersama kepimpinan tertinggi kementerian yang lain.

Dalam usaha untuk menghidupkan amalan sunnah Rasulullah SAW dan mengeratkan ukhuwah sesama warga, YB Menteri dan pengurusan tertinggi kementerian turut berkesempatan untuk menjamah hidangan secara berkumpulan secara bertalam serta aktiviti Qiamullail.

Selain itu, sesi libat urus turut melibatkan IPT Swasta bagi tujuan memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara.

Program ini turut melibat sesi kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dalam usaha memperkukuhkan hubungan kementerian dan kerajaan negeri Sarawak.

Pelbagai produk inovasi, pencapaian warga turut ditonjolkan sepanjang program berlangsung memperlihatkan ekosistem pendidikan tinggi berada pada landasan yang tepat serta turut menerapkan elemen keusahawan dan memberdaya komuniti setempat.

Program Semarak Kampus MADANI akan meneruskan jelajah ke 15 zon lain dengan pengisian dan program yang berimpak tinggi menerusi penglibatan IPT Awam dan Swasta serta komuniti.

Kementerian Pendidikan Tinggi
7 MAC 2024

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - KPT Salur RM8.6 Juta Peruntukan Tambahan Bagi Projek Pembangunan Utama IPT Zon Sarawak (323 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5740
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim