SIARAN MEDIA
KPT PERKUKUH AGENDA INTEGRITI DAN PERANGI BULI
MELALUI PELANCARAN “BE A BUDDY, ZERO BULLY”
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memperkukuh budaya integriti dan menangani isu buli di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) melalui Majlis Perasmian Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 43/2025 di Dewan Za’ba, KPT, Putrajaya semalam.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang turut melancarkan tema dan logo ikonik “Be A Buddy, Zero Bully – Memartabat Integriti, Menolak Buli” sebagai simbolik komitmen kolektif untuk membanteras budaya buli di IPT.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Seri Azam Baki turut menyampaikan ucapan dan mengingatkan bahawa usaha membanteras rasuah memerlukan iltizam politik yang jelas dan kerjasama kolektif daripada segenap lapisan masyarakat.
Program CeIO yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), SPRM ini merupakan platform latihan penting bagi memperkukuh peranan Unit Integriti (UI) dalam sektor awam. Dalam siri 43/2025 ini, seramai 59 orang pegawai integriti daripada pelbagai kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menamatkan kursus siri ini yang berlangsung dari 21 Julai hingga 30 September 2025.
Dalam pada itu, Seminar Kelestarian Integriti (SKI) juga telah diadakan pada sesi pagi dengan forum ekslusif bertajuk ‘Buli: Dimana Integriti Kita?’ yang mengetengahkan perbincangan mendalam tentang krisis integriti dalam isu buli serta solusi praktikal untuk membina budaya hormat dan empati di kalangan pelajar IPT. Forum ini disertai lebih 600 orang peserta merangkumi pentadbir universiti, warden asrama, pensyarah, peserta kursus CeIO serta pelajar dari IPT awam dan swasta.
KPT percaya inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh integriti tetapi juga menyumbang kepada pembentukan generasi muda yang beretika dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan modal insan berintegriti dan bertanggungjawab.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
01 Oktober 2025
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2464