SIARAN MEDIA
KONTIJEN MALAYSIA LAKAR SEJARAH DI AUG 2024
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kontinjen negara melibatkan atlet-atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang mempamerkan pencapaian cemerlang melepasi sasaran 35 pingat Emas dan sekali gus menduduki tempat ketiga negara terbaik pada kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) yang berlangsung pada 25 Jun hingga 6 Julai lalu.
Secara keseluruhan, kontinjen negara berjaya meraih 38 pingat Emas, 45 pingat Perak dan 60 pingat Gangsa sepanjang 11 hari berlangsungnya pertarungan di Surabaya dan Malang, Indonesia.
Pastinya, pencapaian membanggakan ini adalah hasil usaha gigih kontinjen negara yang terdiri daripada 263 atlet dan 119 pegawai dengan 18 acara disertai kontinjen negara yang berentap bersama 11 buah negara ASEAN lain.
Terdahulu, YB Menteri KPT telah mengumumkan pertambahan insentif kepada pemenang- pemenang yang berjaya merangkul pingat kejuaraan iaitu RM3,000 kepada pemenang pingat Emas; RM2,000 pingat Perak; dan RM1,500 kepada atlet yang berjaya merangkul pingat Gangsa.
KPT juga komited untuk menjayakan AUG siri ke-22 dengan Malaysia dipilih untuk menjadi tuan rumah penganjuran pada 2026. Penganjuran sukan ini diyakini dapat terus melahirkan bakat terbaik sukan negara sekaligus melakar nama negara di persada antarabangsa.
Sesungguhnya, KPT turut komited bersama agensi serta badan sukan lain dalam usaha membangunkan bakat sukan yang berprestasi tinggi dan mampu bersaing secara kompetitif di arena antarabangsa.
Kementerian Pendidikan Tinggi
07 Julai 2024
Muat Turun:
pdf Siaran Media - Kontijen Malaysia Lakar Sejarah Di AUG 2024 (99 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 4677