logo kpt black

SIARAN MEDIA

HARI TERBUKA PENDIDIKAN TINGGI NEGARA PERLIHAT USAHA ERAT UNTUK TAMBAH BAIK PRINSIP DAN DASAR DALAM SISTEM PENDIDIKAN TINGGI NEGARA


Penganjuran Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara yang bertempat di perkarangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya berlangsung meriah dengan majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.

Acara diadakan sebagai sokongan ke atas cadangan-cadangan Jawatankuasa Menyemak & Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (National Review Committee atau NRC) yang ditubuhkan bagi menilai semula semua prinsip dan dasar sedia ada dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia.

Jawatankuasa NRC berperanan mengenal pasti isu-isu yang menghalang sektor pendidikan tinggi daripada mencapai potensi penuhnya, di samping membentangkan cadangan untuk mengatasi isu-isu tersebut, dengan matlamat utamanya adalah untuk mendorong kemajuan dan meningkatkan daya saing dalam ekonomi global yang sangat kompetitif.

Selain itu, program turut memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi pandangan dan maklum balas berkenaan cadangan yang diunjurkan oleh Jawatankuasa NRC.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 lalu menjelaskan, landskap pendidikan tinggi ketika ini dilihat lebih rumit dan mencabar.

Situasi ini mendorong kepada penubuhan Jawatankuasa NRC supaya ia dapat memberi saranan penambahbaikan dalam tempoh tiga bulan.

Dalam tempoh tiga bulan tersebut, Jawatankuasa NRC mengenal pasti 58 cadangan utama daripada 874 isu awal.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Idris Jala, ini turut dianggotai oleh individu-individu berpengalaman dan berkepakaran dalam sektor pendidikan tinggi.

Ia termasuk Tokoh Akademik Negara daripada Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia, Datin Prof. Dr. Khatijah Mohamad Yusoff; pakar pendidikan tinggi global, Dr. Jamil Salmi; Pengasas Bait Al Amanah, Dr. Abdul Razak Ahmad; dan Ketua Pegawai Eksekutif, Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik, Datuk Parmjit Singh.

Pasukan petugas khas berkenaan pula dianggotai oleh wakil kementerian dan universiti yang bertanggungjawab menilai semula keberkesanan dasar-dasar dan polisi pendidikan tinggi kebangsaan sedia ada.

Pada Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara ini, Jawatankuasa NRC membentangkan lapan (8) syor tumpuan menerusi tiga (3) tema utama bagi menghasilkan perubahan.

Tiga (3) tema berkenaan iaitu penciptaan sistem berprestasi tinggi yang mampan, penciptaan nilai untuk pelajar dan pembangunan bakat dan penciptaan tadbir urus yang tangkas dan cekap.

Selain itu ia termasuk pengenalpastian tujuh (7) tema umum yang menjadi penghalang perkembangan sistem pendidikan tinggi negara iaitu peraturan ketat yang mengekang perkembangan, proses tidak cekap yang menjadi punca kelewatan dan birokrasi, ketidakselarasan keperluan industri dan kurikulum akademik, hala tuju yang tidak jelas disebabkan jurang dasar dan polisi, sumber yang terhad, mekanisme pembiayaan kurang memberi insentif kepada institusi yang menunjukkan prestasi tinggi serta penguatkuasaan dan pelaksanaan yang lemah.

Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara termasuklah Pameran Pendidikan Tinggi yang bertemakan ‘IPT Pemangkin Pembangunan Negara MADANI’ seperti pameran Produk Inovasi IPT merangkumi Kesihatan Awam, Keterjaminan Makanan, Teknologi Termaju dan Warisan Bangsa.

Bagi menarik minat orang ramai juga, aktiviti interaktif turut disediakan seperti pameran dron dan robotik, Teknologi Makerspace dan AR/VR, kuiz inovasi serta perkhidmatan Klinik Bergerak Hospital Pengajian Universiti (HPU): Pergigian, Mata dan Kesihatan Am.

Kementerian Pendidikan Tinggi
23 Oktober 2023

Muat Turun:

pdf Siaran Media Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara Perlihat Usaha Erat Untuk Tambah Baik Prinsip Dan Dasar dalam Sistem Pendidikan Tinggi Negara.pdf (98 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6024
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 24 Februari 2024, 09:25:25.