SIARAN MEDIA
FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA 2025 BERJAYA JADI GERAKAN
NASIONAL, PERKUKUH BUDAYA KREATIVITI, ILMU DAN INOVASI DI
SELURUH NEGARA
Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melabuhkan tirainya secara rasmi semalam dengan penuh meriah setelah berlangsung selama lima (5) hari bermula 4 hingga 8 November 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Penganjuran Putrajaya FOI edisi kedua ini diperluaskan di seluruh negara apabila turut dianjurkan di 13 buah negeri sepanjang Oktober 2025 di mana acara kemuncaknya berlangsung di PICC dengan mengangkat tema MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea.
Putrajaya FOI 2025 yang menjadi platform untuk menyemarakkan pemikiran baharu, daya cipta dan kreativiti dalam kalangan masyarakat kini menjadi gerakan nasional apabila Jemaah Menteri memutuskan agar festival ini dijadikan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar nasional serta terus diadakan setiap tahun. Pada masa sama, terdapat cadangan menjadikan Putrajaya FOI sebagai program rasmi di bawah Program Pendidikan Tinggi ASEAN dan di peringkat serantau.
Pelbagai pencapaian serta rekod baharu dicatatkan menerusi Putrajaya FOI 2025 dengan berjaya menarik pengunjung seramai 2.05 juta merangkumi 550,000 pengunjung secara fizikal dan 1.55 juta pengunjung secara maya. Ini membuktikan sokongan dan minat yang tinggi daripada masyarakat terhadap platform ilmu dan pengetahuan untuk bersama membangunkan negara tercinta.
Beberapa segmen yang berlangsung iaitu Sidang MyIDEAS sebagai platform wacana, pembentangan dan perkongsian idea berimpak tinggi dengan 234 sesi dicatatkan melibatkan 251 pemimpin, pakar bidang, akademia dan pemain industri. Penganjuran Sidang MyIDEAS ini telah diiktiraf dalam rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu Sidang Wacana Akademik Terbanyak dalam Satu Acara Idea dan Inovasi di Malaysia.
Menerusi segmen MyIDEAS Connect iaitu pameran interaktif yang menghubungkan idea, inovasi dan kolaborasi, Putrajaya FOI 2025 telah menyaksikan penyertaan secara meluas daripada Institusi Pendidikan Tinggi Awam/ Swasta (IPTA/ IPTS), pemain industri, masyarakat, kementerian serta agensi kerajaan. Lebih 200 pavilion/ reruai/ pameran dibuka melibatkan lebih 2,000 pempamer.
Kolaborasi berimpak tinggi melibatkan perjanjian kerjasama strategik turut dicatatkan dengan 102 pertukaran perjanjian (MoU, MoA, LoI) dan pelancaran produk dengan pulangan pelaburan lebih RM172 juta melibatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan serta perkongsian perkhidmatan antara Kementerian, IPT dan industri.
Dalam pada itu, Putrajaya FOI 2025 turut menarik penyertaan negara luar melibatkan lebih 1,000 pemikir, akademia dan pelajar antarabangsa. Sebanyak 10,000 idea kreatif yang berpotensi menjadi solusi inovatif terhadap isu semasa berjaya dikumpulkan menerusi platfrom IdeaVault yang dijayakan oleh Kementerian.
Putrajaya FOI 2025 ini telah membuktikan komitmen KPT untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai teras pembangunan negara MADANI yang menyeimbangkan kemajuan ilmu, teknologi dan nilai kemanusiaan. KPT juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh pemegang taruh Kementerian serta rakan strategik yang memberikan sokongan kepada penganjuran Putrajaya FOI 2025.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
9 November 2025
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 907