logo kpt black

SIARAN MEDIA

EKSPO 2025 OSAKA: JARINGAN KOLABORASI DAN
PENGANTARABANGSAAN PENDIDIKAN TINGGI DIPERLUAS
DI PENTAS DUNIA


Minggu Pendidikan Tinggi di Ekspo 2025 Osaka yang dijayakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melabuhkan tirai selepas seminggu berkampung di Pavilion Malaysia bermula 21-26 Julai lalu. Mengetengahkan tema ‘Study in Malaysia’, minggu berkenaan sarat dengan pengisian bermanfaat dan jalinan kerjasama strategik, selari usaha KPT memperluas jaringan kolaborasi dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi di persada global.

Usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa menjadi fokus utama penyertaan KPT di Pavilion Malaysia. Satu daripada inisiatif menggalakkan ketibaan pelajar adalah melalui program Edutourism, iaitu gabungan pendidikan dan pelancongan dengan menawarkan 168 pakej daripada 55 rakan sepadan merangkumi 11 kategori utama termasuk budaya, warisan, makanan dan pengembaraan. Sesi pra- pelancaran rasmi ‘Edutourism Gateway’, sebuah gerbang digital yang berfungsi sebagai hab informasi sehenti para komuniti global turut berlangsung dan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Penganjuran minggu berkenaan turut menyaksikan 31 sesi pemeteraian dan pertukaran Memorandum Persefahaman dan Perjanjian (MoU/MoA) berjaya ditandatangani antara 11 buah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia bersama IPT Jepun dalam 13 buah bidang strategik termasuk perubatan, ekonomi, perbankan Islam, marin, pertanian dan kejuruteraan. Selain itu, pelbagai bentuk aktiviti lain turut dipersetujui, antaranya melibatkan program pertukaran pelajar dan akademia, latihan industri, projek penyelidikan bersama dan pembangunan program akademik yang selari dengan keperluan industri.

Beberapa sesi padanan perniagaan turut diselaraskan dengan menghimpunkan 11 buah IPT Malaysia dan 20 buah syarikat luar negara. Program ini bertujuan memperkenalkan IPT Malaysia ke pasaran Jepun di samping menggalakkan kerjasama dua hala dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan produk (R&D). Program yang menyediakan ruang interaksi ini meneroka potensi untuk peluang kolaborasi seperti pemindahan teknologi serta pembangunan program akademik.

Dalam usaha mempelbagai program pemindahan dan perkongsian ilmu, sebanyak 22 buah sesi perkongsian pocket talk, podcast, serta forum telah dianjurkan yang berfokuskan kepada topik perkongsian ilmu dan inovasi dengan melibatkan 15 buah IPT Malaysia. Setiap satu IPT turut mengetengahkan kepakaran tersendiri menjadikan ia platform dinamik yang mencerminkan keupayaan dan kebitaraan pendidikan tinggi Malaysia.

Minggu Pendidikan Tinggi yang berlangsung pada minggu ke-15 penganjuran Ekspo 2025 Osaka (bermula 13 April - 13 Oktober 2025) ini mendapat sambutan luar biasa apabila merekodkan lebih 100,00 pengunjung dalam tempoh enam (6) hari penganjuran di Pavilion Malaysia. Ekspo yang berlangsung setiap lima (5) tahun ini melibatkan penyertaan 158 buah negara menjadi tumpuan dengan kehadiran jutaan pengunjung dari serata dunia.

Kementerian turut ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas peluang menganjurkan minggu ini serta agensi di bawah KPT merangkumi Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Education Malaysia Global Services (EMGS) atas usaha bersama menjayakannya. Pendekatan sekerajaan (whole-of-government approach) pastinya akan terus diperkukuh dalam usaha KPT melahirkan bakat terbaik negara dan meletakkan Malaysia di pentas dunia selari dengan teras Malaysia MADANI.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
27 Julai 2025

Muat Turun:

   pdf Siaran Media - Ekspo 2025 Osaka Jaringan Kolaborasi Dan Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Diperluas Di Pentas Dunia(100 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5117
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 September 2025, 04:30:59.

logo-sirim