KENYATAAN MEDIA
PENGOPERASIAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI SEMASA TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN
Merujuk kepada Perutusan Khas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada 11 Januari 2021 mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengoperasian institusi pendidikan tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah kekal seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini iaitu pelajar antarabangsa dibenarkan masuk ke kampus kecuali dari United Kingdom seawal 1 Januari 2021 dan pelajar tempatan seawal 1 Mac 2021.
Sehubungan itu, semua pelajar yang telah berada di kampus perlu kekal di kampus masing-masing dan mengikuti pembelajaran secara hibrid. Bagi pelajar lain, pembelajaran bagi semua program pengajian diteruskan dengan pembelajaran secara dalam talian sehingga tamat PKP.
Peperiksaan antarabangsa dan badan profesional adalah dibenarkan dijalankan di kampus. Pelajar-pelajar berkeperluan seperti latihan klinikal, peperiksaan profesional, makmal, studio, amali atau akses internet dan seumpamanya adalah dibenarkan. Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak IPT bagi membolehkan pelajar yang berkeperluan memohon kebenaran merentas negeri atau daerah untuk pulang ke kampus daripada pihak berkuasa.
Semua aktiviti penyelidikan yang melibatkan kemudahan makmal adalah dibenarkan melalui kebenaran Ketua Jabatan dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. Pelajar luar kampus yang menjalani aktiviti penyelidikan perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus dari IPT masing-masing.
Kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan fizikal.
Para pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT melalui Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/ 6949/ 6623/ 6124, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing.
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
12 Januari 2021
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 10384