logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PENGIKTIRAFAN PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA UNDANG-UNDANG DAN SYARIAH DENGAN KEPUJIAN UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)


Kementerian Pengajian Tinggi merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah berjaya mendapat pengiktirafan penuh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang, Malaysia (LKPU) ke atas program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah (SmUS).

Usaha dan komitmen yang telah diberikan oleh pihak USIM, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersama LKPU melalui platform Jawatankuasa Teknikal Bersama semenjak tahun 2010 kini telah membuahkan hasil yang membanggakan dan graduan program SmUS kini diiktiraf sebagai orang berkelayakan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Walaupun negara telah dilanda Pandemik COVID-19 sejak tahun 2020, LKPU terus melaksanakan penilaian yang berterusan dan pelbagai proses penting seperti pelaksanaan modul tambahan selama 6 bulan, Ujian Akhir Modul Khas Kemahiran dan Latihan Praktikal pada bulan September 2020, lawatan penilaian semula program dan semakan kualiti telah berjaya dilaksanakan.

Justeru, pihak Kementerian ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada LKPU yang telah melaksanakan tugasnya dengan profesional dalam memuktamadkan proses pengiktirafan ke atas program ini.

Kementerian juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada graduan program SmUS dan semoga kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin untuk melakar kejayaan yang lebih besar dan gemilang pada masa akan datang.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
5 JUN 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pengiktirafan Program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah dengan kepujian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) (31 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 12886
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 08 Disember 2023, 17:12:30.