logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

MAKLUM BALAS BERHUBUNG PENGLIBATAN PELAJAR IPT DALAM PERKHIDMATAN SUGAR BABY - KPT PANDANG SERIUS DAKWAAN SUGARBOOK


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memandang serius pendedahan yang dibuat oleh The Star Online mengenai laman sesawang 'student programme' dan laporan dalam Facebook mengenai peningkatan mendadak bilangan pelajar universiti yang terlibat dalam perkhidmatan sugar baby.

Pihak KPT telah menghubungi beberapa universiti yang disenaraikan dalam laporan tersebut bagi mendapatkan maklumat mengenai kesahihan data yang telah disiarkan dalam beberapa media. Dalam hal ini, pihak Universiti menjelaskan terdapat banyak keraguan terhadap data yang dikemukakan. Antaranya, Sunway Education Group menyatakan bahawa agak mustahil 45% daripada pelajar Sunway University terlibat sebagai sugar baby. Ini kerana jumlah pelajar Sunway University pada masa kini adalah lebih kurang 7,000 pelajar sahaja. Oleh itu, laporan yang disiarkan oleh media bahawa seramai 3,105 pelajar Sunway University sebagai sugar baby adalah tidak munasabah. Pada 10 Februari 2021, UITM juga telah membuat laporan polis bagi menafikan laporan oleh pihak media.

Walau bagaimanapun, pihak KPT bersama-sama dengan pihak Universiti akan menangani isu ini dengan lebih berkesan. Pihak Universiti akan menjalankan semakan dalaman secara terperinci bagi memastikan apa yang dilaporkan oleh pihak media dapat ditangani sebaik-baiknya.

Pihak KPT juga akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan agar satu program yang berterusan dan menyeluruh dapat dirangka dalam memastikan sahsiah pelajar dan imej Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia terjaga.

PROF. DATO' DR. HUSAINI OMAR
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi
Jabatan Pendidikan Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi
14 Februari 2021

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 16210
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 03 Oktober 2024, 04:17:23.

logo-sirim