Kenyataan Media-Permohonan Fasa Pertama E-Baucar Buku Ditutup, Fasa Seterusnya Dengan Mekanisme Berbeza

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PERMOHONAN FASA PERTAMA E-BAUCAR BUKU DITUTUP,
FASA SETERUSNYA DENGAN MEKANISME BERBEZA


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar- pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berjaya menebus e-Baucar Buku @ KPT melalui laman sesawang GREaT (kendalian KPT).

Selepas lapan (8) jam permohonan e-baucar dibuka, pada jam 6.00 petang (Sabtu) sebanyak 50,000 e-baucar berjaya ditebus sepenuhnya. E-baucar bernilai RM100 berkenaan boleh digunakan bagi pembelian buku di portal BookCapital (kelolaan Perbadanan Kota Buku) yang juga merupakan penganjur bersama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024). Portal BookCapital juga dipilih kerana merupakan platform yang menghimpunkan judul terkini serta berkualiti terbitan penerbit universiti seluruh Malaysia yang merangkumi pelbagai bidang.

Susulan itu, KPT menutup sementara permohonan bagi fasa pertama untuk mengemaskini maklumat sedia ada. Bagi pelajar yang tidak berpeluang untuk mendapatkan e-baucar pada fasa pertama ini, pelajar boleh memohon di fasa berikutnya yang akan dimaklumkan kelak.

KPT komited untuk memperluaskan lagi mekanisme penyaluran serta kolaborasi lain bersama penerbit buku berkaitan. Ini juga bagi memastikan pelajar hanya membeli bahan berkaitan dan berkualiti. Penyaluran melalui kaedah e-baucar ini juga sebagai komitmen KPT dalam mengelakkan ketirisan dan salah guna berlaku.

Pemberian baucar buku telah diumumkan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada Khamis di PBAKL 2024 untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar. Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir juga pada Jumaat memaklumkan penyaluran e-baucar ini secara berperingkat dan akan memanfaatkan lebih 1.2 juta pelajar IPT di bawah kelolaan KPT.

DATO’ SERI IR. DR. ZAINI UJANG
Ketua Setiausaha,
Kementerian Pendidikan Tinggi
1 Jun 2024

Muat Turun:

     pdf Kenyataan Media-Permohonan Fasa Pertama E-Baucar Buku Ditutup, Fasa Seterusnya Dengan Mekanisme Berbeza (101 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5964
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 09 Oktober 2024, 08:12:06.

logo-sirim