KENYATAAN MEDIA
PENGECUALIAN BAYARAN PROSES UPUONLINE UNTUK KEMASUKAN PELAJAR BAGI SESI AKADEMIK 2022/2023
Mengambil kira keadaan semasa pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline/ Unik ID kepada semua pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Setaraf, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Asasi, Matrikulasi dan Diploma/Setaraf bagi sesi akademik 2022/2023.
Permohonan kemasukan akan dibuka mulai 4 Februari 2022 sehingga 31 Mac 2022. Sehubungan dengan itu, pemohon boleh melayari portal rasmi upu.mohe.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Kerajaan dan KPT khususnya amat prihatin akan kekangan dan kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli nombor pin Unik ID di Bank Simpanan Nasional untuk membuat permohonan UPUOnline.
Justeru, KPT berharap agar keputusan ini dapat meringankan beban dan melancarkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah.
DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI
3 FEBRUARI 2022
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 9324