logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PENCARIAN PELARI PECUT NEGARA BERMULA DI JOHOR


Ujian kelayakan pertama zon selatan bagi Projek B10 atau projek larian khas yang merupakan satu projek usahasama antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pusat Sukan Tumpuan (PST) Olahraga KPT di Universiti Putra Malaysia (UPM) akan diadakan di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor Darul Ta’zim hari ini.

Tujuan projek ini diadakan adalah untuk mencari pelari pecut negara yang mampu memecahkan rekod larian di bawah 10 saat yang pertama di Asia Tenggara serta mampu menguasai acara-acara lain seperti 200 meter dan lari berganti-ganti 4 x 100 meter di rantau ini.

Program khas selama 5 tahun ini akan mencari 10 hingga 20 pelatih projek yang berjaya melepasi ujian percubaan yang akan ditempatkan secara berpusat dan diberikan latihan serta pendedahan secukupnya oleh jurulatih-jurulatih pecut ternama di negara ini berserta bimbingan bekas-bekas pelari pecut negara.

Bagi yang terpilih menyertai program ini, calon pelatih hendaklah melepasi syarat kelayakan program, antaranya adalah atlet lelaki yang berumur 18 hingga 23 tahun; mampu berlari di bawah 4 saat pada jarak 30 meter; mampu berlari di bawah 4 saat pada jarak 30 meter; mampu berlari kurang daripada 6.50 saat untuk jarak 60 meter; boleh melakukan standing vertical jump lebih dari 55 cm dan standing broad jump lebih dari 2.95 cm; dan mempunyai ketinggian fizikal melebihi 1.78cm.

KPT amat yakin dan percaya dengan kemampuan jurulatih-jurulatih tempatan dalam menggembleng tenaga dan kepakaran masing-masing demi merealisasikan impian negara ini.

Projek B10 ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi pada 5 November 2021.

 

Kementerian Pengajian Tinggi
17 Mac 2022

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pencarian Pelari Pecut Negara Bermula di Johor (100 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 13799
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 Julai 2024, 04:35:17.

logo-sirim