logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PELAJAR IPTA SABAH NIKMATI MENU SISWA RAHMAH


Kira-kira 20,000 pelajar dari golongan B40 di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seluruh Sabah menerima manfaat daripada pengenalan Menu Siswa Rahmah (MSR) dengan hidangan pada harga berpatutan RM3.50.

Mereka terdiri daripada 3,779 pelajar di UiTM Kampus Kota Kinabalu dan 161 daripada UiTM Tawau, 11,968 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan 3,713 orang pelajar di Politeknik Kota Kinabalu dan Politeknik Sandakan.

Program MSR di IPTA Sabah ini melibatkan pemberian moratorium/ pengecualian bayaran sewa premis/ bayaran utiliti oleh pihak universiti dan politeknik kepada 22 pengusaha kafeteria/ kiosk/ gerai/ penyedia perkhidmatan makanan sedia ada dan baharu di dalam kampus.

MSR adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), khususnya daripada golongan B40 bagi memastikan kelangsungan kebajikan mereka terus dijaga dan proses pembelajaran dan pengajaran tidak terjejas.

Penyediaan MSR ini juga mengambil kira keperluan nutrisi asas (karbohidrat, protein, serat) dan komposisi kepelbagaian kaum mahasiswa di IPT.

Pelaksanaan MSR ini merupakan komitmen KPT untuk menyokong inisiatif Rahmah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia yang bertujuan membantu golongan terkesan dengan lonjakan kos sara hidup.

Dalam tinjauan pelaksanaan MSR di UiTM Kampus Kota Kinabalu hari ini, YB Dato’ Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi turut melawat Dapur HEP yang menyediakan hidangan nasi percuma sebanyak dua kali sehari kepada pelajar bagi membolehkan mereka berjimat dengan hanya membeli lauk sahaja di kafeteria.

Selain daripada penjimatan kos sara hidup, pelaksanaan Dapur HEP ini telah membuka peluang kesukarelawanan dan menggalakkan amalan saling bantu-membantu di kalangan para pelajar berdasarkan konsep ‘Dari Pelajar untuk Pelajar’.

Pada majlis itu, YB Timbalan Menteri turut menyampaikan sumbangan 1,000 kg beras yang boleh menyediakan lebih 6,600 hidangan nasi daripada KPT sebagai tanda sokongan terhadap pengoperasian inisiatif Dapur HEP.

Turut hadir YBhg Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT dan YBhg Prof Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Ros, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM.

Kementerian Pendidikan Tinggi
15 APRIL 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media (Menu Siswa Rahmah UiTM KK) .pdf (90 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6231
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 Julai 2024, 04:35:17.

logo-sirim