KENYATAAN MEDIA
MALAYSIA BANGUNKAN PUSAT KECEMERLANGAN PENDIDIKAN DAN LATIHAN BAGI NEGARA-NEGARA MEMBANGUN & SELEPAS PERANG
Lawatan saya ke Switzerland sepanjang 4 hari bermula 6 hingga 9 September 2024 melalui jemputan daripada Institut Perdagangan Dunia atau World Trade Institute (WTI) menyaksikan beberapa pertemuan dua hala, perbincangan, ucaptama dibuat dalam usaha memperkukuh kerjasama dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
Saya berkesempatan untuk mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Institut Kajian Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Profesor Tetsuya Watanabe; Ketua Pakar Perdagangan di Bank Dunia, TYT Dr. Roberto Echandi; dan Pengurus Praktis dan Perdagangan Global di Bank Dunia.
Kami sempat berbincang mengenai program 'capacity building' dan mereka begitu tertarik untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam membangunkan bakat yang dapat menyumbang kepada negara mahupun global kelak.
Pada peringkat permulaan, satu kata sepakat telah dicapai iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan bagi belia daripada negara-negara membangun dan selepas perang. Antara negara yang bakal dipilih termasuk Afghanistan, Iraq, Libya serta Timor Leste.
Ini merupakan satu pengiktirafan besar buat negara kerana mendapat mandat untuk membangunkan pusat berkenaan. Dalam masa sama juga, ia sebagai salah satu usaha Kementerian dalam memberikan akses pendidikan yang terbaik kepada penduduk negara-negara ini untuk mendapat pendidikan tinggi seterusnya dapat berbakti membangunkan negara masing-masing.
Saya menyambut baik hasrat berkenaan selaras dengan fokus Kementerian iaitu mengantarabangsakan pendidikan tinggi. Pada peringkat awal, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi penyelaras bagi program-program berkaitan dalam menjayakan inisiatif ini.
Nyata lawatan saya ke Switzerland kali ini membuahkan hasil dengan dapat memperkukuh lagi hubungan dua hala serta kerjasama strategik dalam menjayakan agenda pembangunan bakat terbaik dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
YB DATO' SERI DIRAJA DR ZAMBRY ABD KADIR
Menteri Pendidikan Tinggi
10 September 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2782