KENYATAAN MEDIA
LAWATAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI KE ARAB SAUDI PERKUKUH KOLABORASI, PERLUAS RANGKAIAN PENDIDIKAN TINGGI
Saya selesai meghadiri Persidangan Human Capability Initiative (HCI) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa King Abdulaziz, Riyadh bertemakan Future Readiness. Dalam persidangan selama dua hari ini, saya dijemput oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai salah seorang panelis dalam sesi bersama Menteri Pendidikan dengan tajuk ‘Education Spotlight’.
Turut bersama saya dalam sesi itu ialah Menteri Pendidikan Arab Saudi; Menteri Pendidikan Bahrain; Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Qatar dan Pengerusi Lembaga Suruhanjaya Penilaian Pendidikan dan Latihan Kerajaan Saudi. Sesi pula dikendalikan oleh bekas hos BBC, Nik Gowing.
Dalam sesi ini saya berkongsi bagaimana anjakan perubahan dilakukan oleh Malaysia dalam bidang pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Selain itu saya turut bersetuju dengan kepantasan perubahan yang berlaku, kita tidak boleh ketinggalan terutamanya dalam pendidikan. Pada masa yang sama kita perlu memastikan tidak berlaku ‘isomorphic mimicry’. Kita ingin kelihatan gah, mengejar dan meniru perubahan yang berlaku, namun hakikat esensi dan realiti dengan masyarakat kita adalah sifar dan tidak bersesuaian. Sebab itu kita perlu mengkaji setiap perubahan dan pembaharuan yang ingin dilakukan dalam bidang pendidikan agar kita tidak mengejar sesuatu dengan sia-sia.
Saya turut berkesempatan mengadakan tujuh mesyuarat dua hala di sela-sela masa dua hari persidangan ini. Antaranya ialah dengan Menteri Pendidikan Saudi, Dr. Yousef Abdullah AlBenyan. Beliau memberi komitmen berkenaan biasiswa Kerajaan Arab Saudi kepada pelajar Malaysia sebelum ini akan dinaikkan dan perbincangan lanjut akan dilakukan. Pada masa sama, kami juga bersetuju agar segala kerenah birokrasi membabitkan proses pertukaran pelajar dan proses pendaftaran yang melibatkan visa, pengesahan akredetasi dan sebagainya akan diselesaikan dengan segera. Beliau turut memaklumkan Malaysia dan Arab Saudi adalah dua negara bersaudara dan sangat akrab.
Perjumpaan saya dengan Menteri Tenaga Arab Saudi, Yang Mulia Putera Abdulaziz bin Salman Al Saud telah menyentuh mengenai kerjasama untuk membentuk pusat penyelidikan dan kajian bersesuaian antara Malaysia dan Saudi terutamanya dalam bidang AI, teknologi dan peralihan tenaga. Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah King Fahd University of Petroleum and Minerals (KFUPM), Saudi bersetuju untuk berkolaborasi antara universiti dalam negara dengan KFUPM melalui pertukaran pelajar dan tenaga mahir.
Saya juga bertemu dengan Menteri Perdagangan Saudi, Dr. Majid bin Abdullah Al- Kassabi; Menteri Pelaburan Saudi, Khalid Al Falih dan Menteri Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial Saudi, Ahmad bin Sulaiman AlRajhi. Ketiga-tiga pemimpin ini memberi komitmen untuk mengadakan perjanjian dan kerjasama antara kementerian mereka dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pelbagai cabang seperti latihan pengurusan Haji secara atas talian, kursus dan penyelidikan bersama berkenaan perdagangan dan pelaburan serta pertukaran idea dan pengalaman pakar dan tenaga pengajar berkenaan bidang sumber manusia serta pembangunan sosial.
Kesemua menteri yang saya temui ini memberikan komitmen bagi memberi ruang dan peluang kepada mana-mana institusi pendidikan negara untuk bekerjasama membina rangkaian pendidikan lebih luas antara Malaysia dan Saudi. Mereka akan mengadakan pertemuan dengan beberapa rakan sejawatan melalui delegasi Saudi ke Malaysia yang dibentuk sebelum ini iaitu Saudi-Malaysian Coordination Council.
Saya turut berkesempatan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Qatar, Buthaina Ali Al Jabr Al Nuaimi dan Menteri Pendidikan Bahrain, Dr. Mohammed Mubarak Juma. Kedua-dua pertemuan ini memberi tanda positif kepada hubungan pendidikan tinggi antara Malaysia dengan Qatar dan Bahrain dengan kesemua pihak bersetuju untuk meningkatkan jumlah pelajar ke Malaysia dan menambahkan jumlah pelajar Malaysia ke negara mereka. Ini termasuklah program Qatar Foundation yang membantu pelajar di negara konflik belajar di Malaysia untuk diaktifkan semula serta biasiswa untuk pelajar Malaysia ke Qatar. Kampus cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha, Qatar kini dalam proses akhir pembukaan untuk beroperasi bakal menawarkan empat program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara persisir (offshore).
Lawatan kerja ke Persidangan Human Capability Initiative (HCI) di Riyadh ini merupakan satu lawatan yang berjaya dalam memperkukuh kolaborasi serta memperluas jaringan antara Malaysia dan negara Timur Tengah dalam sektor pendidikan tinggi. Melalui komitmen dan persetujuan kerjasama bersama Arab Saudi, Qatar dan Bahrain memperlihatkan kepercayaan dan keyakinan negara-negara ini terhadap kemampuan ekosistem pendidikan tinggi negara dalam melahirkan bakat berkualiti dan meneroka bidang-bidang baharu selain memperhebat penyelidikan bagi memanfaatkan masyarakat.
DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
1 MAC 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 5194