logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

LAWATAN KERJA YB MENTERI PENDIDIKAN TINGGI KE UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA


  1. Saya telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 27 Januari 2023. Lawatan ini merupakan lawatan kerja ketiga saya ke Universiti Awam selepas Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
  1. Turut hadir YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi serta pengurusan kanan UPM.
  1. Lawatan kerja ini dimulakan dengan sesi taklimat oleh YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM berkaitan kemajuan dan hala tuju UPM. Saya juga berkesempatan meninjau pameran hasil penyelidikan warga UPM di Bangunan Canselori
  1. Semasa lawatan kerja tersebut, saya telah tekankan bahawa sektor pertanian merupakan sektor yang penting dan strategik kepada negara. Sejajar dengan bidang tujahan UPM yang bersifat pertanian, UPM berperanan besar dalam menyumbang solusi bagi mengatasi salah satu daripada cabaran dan masalah dunia, iaitu krisis ketidakcukupan bekalan makanan.
  1. Pertanian bukan lagi hanya berkisar tentang penanaman, penternakan mahupun Tetapi ia juga melibatkan bidang dan cabang ilmu lain seperti sains, matematik, pemasaran, perniagaan dan sebagainya.
  1. UPM perlu meningkatkan keserakanan universiti dan industri, terutamanya dalam perkongsian sumber bagi melonjakkan sektor pertanian secara keseluruhannya dan tidak memfokuskan hanya kepada ‘output’ tetapi ‘outcome’ kepada masyarakat dan negara.
  1. Universiti juga tidak boleh hanya menekankan kepada pengeluaran penanaman, penternakan mahupun Tetapi turut memberi perhatian kepada nilai tambah produk yang dihasilkan untuk industri ‘spin-off’ yang lumayan dan menguntungkan negara.
  1. UPM mempunyai begitu banyak hasil penyelidikan dan berperanan mewujudkan program-program yang kuat dan kukuh kepada masyarakat melalui program ‘social entrepreneurship’ dan ‘social innovation’.
  1. Saya telah menyatakan bahawa universiti berperanan untuk mendidik, melatih serta meningkatkan libat urus dan jaringan dengan masyarakat bagi membolehkan ilmu dan penemuan baru di universiti dikongsi dan dipindahkan.
  1. Melalui perkongsian dan pemindahan ilmu dan penemuan seperti ini, kepercayaan masyarakat kepada universiti dapat sentiasa dipertahankan. Ilmu dan penemuan baru tidak boleh hanya disimpan di universiti.
  1. Bagi pihak KPT, saya memberi jaminan dan komitmen untuk sentiasa memberikan sokongan kepada UPM. Saya menaruh harapan yang tinggi kepada UPM dalam menjayakan masyarakat dan negara. UPM berperanan membantu negara dalam berhadapan dengan sebarang masalah dan cabaran yang dihadapi, khususnya berkenaan cabaran dan jaminan bekalan makanan.

DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

28 JANUARI 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media (Lawatan Kerja ke UPM) 28-1-2023.pdf (103 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5459
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 14 Jun 2024, 19:20:56.