logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KPT KOMITED TERUSKAN AGENDA KEBAJIKAN PEMINJAM PTPTN DAN PENDEPOSIT SSPN


Dalam pembentangan Bajet 2023 oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia pada 7 Oktober 2022, pelbagai inisiatif telah dibentangkan termasuk kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Antaranya pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama; kenaikan kadar 100% pinjaman PTPTN dan penyediaan pinjaman komputer untuk kumpulan M40; pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional dilanjutkan sehingga 2024.

Bagi pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN, permohonan telah dibuka sejak 15 September 2022 hingga 31 Disember 2022 kepada semua peminjam yang bergraduat bermula tahun 2019 yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.

Selain daripada itu, di dalam pembentangan Bajet 2023 juga turut dibentangkan insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2022 hingga 30 April 2023 meliputi:

  1. Diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
  2. Diskaun 15 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
  3. Diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Kementerian Pengajian Tinggi berharap inisiatif-inisiatif yang telah dibentangkan di dalam Bajet 2023 ini dapat diteruskan seperti yang dirancang dalam usaha untuk menjaga kebajikan peminjam PTPTN dan Pendeposit SSPN.

Kementerian yakin, inisiatif ini dapat menjadi penyuntik semangat dan dorongan kepada semua pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapat kelulusan yang terbaik dalam pengajian.

DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

23 Oktober 2022

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media KPT Komited Teruskan Agenda Kebajikan Peminjam PTPTN Dan Pendeposit SSPN.pdf (39 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 12219
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 01:33:11.

logo-sirim