logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KPT KOMITED PERKASAKAN AGENDA KEBAJIKAN DAN KESEJAHTERAAN PELAJAR LUAR KAMPUS


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa peka dan mengambil berat keperluan semasa pelajar, terutamanya bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar luar kampus terpelihara.

Atas dasar KPTPrihatin, Kementerian telah melancarkan inisiatif Rumah Siswa pada tahun 2021 yang turut merangkumi elemen penubuhan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus (UPLK) di semua Universiti Awam (UA) dan pembangunan Portal Rumah Sewa Siswa (RSS).

Portal RSS yang boleh diakses melalui pautan rumahsiswa.mohe.gov.my berperanan menyediakan platform bagi memudahcarakan usaha pelajar mencari dan mendapatkan kediaman (rumah/bilik) sewa di sekitar kampus. Tambahan, penyenaraian premis di dalam Portal ini dilaksanakan oleh pegawai UA sendiri yang bertanggungjawab meneliti dan memastikan kediaman yang dikenalpasti adalah kondusif bagi penginapan pelajar dari aspek kadar sewaan, fasiliti yang disediakan dan keselamatan lokaliti premis.

Sehingga 19 September 2022, seramai lebih 29,000 orang pelajar dari seluruh negara telah berdaftar bagi pencarian rumah sewa menerusi Portal RSS. Dalam masa yang sama, KPT juga akan terus memantau pentadbiran Portal RSS bagi memastikan lebih banyak premis untuk penyewaan tersenarai dengan kadar mampu milik bagi memenuhi keperluan pelajar menginap di luar kampus terutamanya bagi persediaan kemasukan Semester Akademik 1, Tahun 2022/2023 nanti.

Kementerian juga ingin menyarankan agar pihak UA menerusi UPLK terus menyantuni pelajar yang berkeperluan mendapatkan penginapan di luar kampus agar sebarang cabaran yang dihadapi mereka dapat sentiasa dibantu dan dipermudahkan. Pelajar juga dinasihatkan sentiasa berhubung dengan pihak UPLK di UA masing-masing bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam pencarian rumah, hal ehwal kontrak sewaan dan perundingan yang berkaitan.

KPT dengan kerjasama Majlis Perumahan Universiti - Universiti Malaysia (MAPUM) juga meneliti ketersediaan kapasiti penginapan pelajar di dalam dan luar kampus bagi mengoptimumkan keperluan pelajar yang semakin meningkat.

Justeru, KPT terus komited agar pelajar luar kampus sentiasa mendapat kediaman yang selamat, mampu milik dan kondusif menerusi capaian yang mudah dan pantas selari dengan aspirasi menjamin kesejahteraaan pelajar di institusi pendidikan tinggi.

Kementerian Pengajian Tinggi
21 Sepetember 2022

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Agenda Kebajikan & Kesejahteraan Pelajar Luar Kampus.pdf (197 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 9301
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 01:33:11.

logo-sirim