logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI BEKERJASAMA DENGAN
KEMENTERIAN PERTAHANAN ATASI KES BULI DI ALK, UPNM


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin menegaskan bahawa kementerian mengambil serius terhadap kes buli yang berlaku di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) termasuk kes di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Terbaharu, dilaporkan seorang penuntut tahun satu ALK, UPNM disyaki cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu. Kejadian ini dikatakan hanya berlaku sehari sebelum kejadian membabitkan seorang pelajar yang ditekap menggunakan seterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

KPT menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan memberi kerjasama penuh untuk tindakan lanjut. Dalam masa sama, rawatan dan kebajikan pelajar yang cedera itu juga akan terus diberikan sebaiknya.

PENTADBIRAN UPNM

UPNM merupakan salah satu daripada 20 UA di bawah KPT namun mempunyai keunikan dari sudut pentadbirannya kerana ia turut diuruskan oleh Kementerian Pertahanan. Pelajar UPNM tergolong kepada dua (2) kategori iaitu Pelajar Awam (sebanyak 80 peratus) dan Pegawai Kadet (sebanyak 20 peratus). Dalam hal ini, pengurusan kedua-dua kategori pelajar ini terbahagi antara pihak UPNM di bawah KPT dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di bawah Kementerian Pertahanan.

Pelajar awam di UPNM adalah tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Manakala pelajar Pegawai Kadet di UPNM tertakluk kepada Akta Angkatan Tentera 1972 dan juga AUKU 1971. Namun begitu, untuk Pegawai Kadet, keseluruhan pentadbirannya (kecuali akademik) merangkumi Latihan Ketenteraan dan perkara bukan akademik adalah ditadbir oleh ALK di bawah Kementerian Pertahanan. Dalam hal ini, KPT sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan bagi memastikan kelancaran setiap aktiviti dan program yang diatur untuk pelajar UPNM dalam kedua-dua kategori pelajar.

Keunikan pentadbiran di UPNM sedikit sebanyak memberi kesan kepada tindakan lanjut apabila berlakunya sesuatu perkara seperti kes buli ini. Dalam perihal disiplin dan tatatertib, semua pelajar termasuk pelajar kadet ALK ditadbir oleh Jawatan Kuasa Tatatertib Universiti (JKTT) UPNM. Sekiranya pelajar kadet ALK dikenakan hukuman tatatertib oleh Universiti, selain dari tindakan susulan yang diambil oleh UPNM berpandukan AUKU 1971, keputusan tatatertib tersebut akan dilaporkan kepada ALK untuk tindakan selanjutnya oleh Majlis Angkatan Tentera.

UPNM di bawah KPT bertanggungjawab ke atas urusan pengajaran dan pembelajaran (PdP), kuliah dan aktiviti atau kegiatan pelajar dari jam 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang, dan tanggungjawab ALK meliputi perkara disiplin ketenteraan, aktiviti di luar bidang akademik dan latihan ketenteraan bermula jam 5.00 petang dan ke atas, termasuk hujung minggu atau hari pelepasan am. Kedua-dua insiden buli yang dilaporkan berlaku di ALK di luar waktu pengajaran dan pembelajaran.

LANGKAH TANGANI

Bagi memastikan keselamatan pelajar di kampus terjamin dan insiden tidak berulang, KPT akan mengadakan perbincangan komprehensif bersama Kementerian Pertahanan termasuk mengkaji semula dasar sedia ada untuk memperbaiki sistem disiplin dan prosedur bagi menangani salah laku buli dengan lebih cekap.

Selain itu, kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan akan dijalankan jika terdapat sebarang pelanggaran serius yang melibatkan undang-undang negara.

Dalam masa sama, KPT turut berharap agar warga IPT sendiri menjadi ‘mata dan telinga’ dengan berani untuk tampil melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat kes salah laku sebegini.

Kejadian salah laku buli ini sedikit sebanyak memberi imej tidak baik kepada IPT yang menjadi institusi untuk pembentukan ‘otak dan watak’ iaitu mempunyai tahap pemikiran dan keperibadian yang seimbang dan baik.

KPT ingin memberi amaran tegas kepada semua warga IPT untuk tidak melindungi atau terlibat dengan isu buli sebegini. Kementerian tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
12 November 2024

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media - Kementerian Pendidikan Tinggi Bekerjasama Dengan Kementerian Pertahanan Atasi Kes Buli Di ALK, UPNM (205 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 4374
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 01:10:02.

logo-sirim