logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

Jawapan Pertanyaan Lisan Oleh Ahli Parlimen Machang Berkenaan Pemansuhan Hutang PTPTN Bersasar


  1. Saya telah menghadiri Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas hari ini.
  1. Ahli Parlimen Machang, YB Tuan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal telah membuat pertanyaan lisan berkenaan pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40.
  1. Kerajaan buat masa ini belum mempunyai perancangan untuk memansuhkan pinjaman hutang PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40.
  1. Saya telah memaklumkan bahawa berdasarkan unjuran atau anggaran awal PTPTN, cadangan pemansuhan pinjaman PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan melibatkan seramai 1.84 juta peminjam dengan jumlah pemansuhan atau pelupusan sebanyak RM42.34 bilion.
  1. Walau bagaimanapun, Kerajaan sentiasa prihatin dan memberi perhatian kepada kebajikan peminjam PTPTN dan kemudahan membayar balik pinjaman.
  1. Sehingga kini, terdapat pelbagai cara dan inisiatif yang dilakukan dalam usaha memudahkan peminjam daripada golongan miskin dan isi rumah B40, antara lain, seperti berikut:
  • Penangguhan bayaran balik sekiranya menyambung pengajian atau belum mendapat pekerjaan;
  • Penstrukturan atau penjadualan    semula    bayaran    balik pinjaman mengikut kemampuan peminjam;
  • Pemberian diskaun bayaran balik sekiranya dilakukan bayaran secara sekaligus dengan penuh;
  • Bayaran balik pinjaman PTPTN hanya bermula selepas 12 bulan peminjam menamatkan pengajian untuk memberi ruang kepada peminjam membuat persediaan sewajarnya serta memperoleh pendapatan yang stabil sebelum memulakan bayaran balik.
  1. Kesemua blok politik yang pernah menjadi kerajaan, sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) tidak pernah membuat keputusan untuk menghapuskan hutang PTPTN ketika memerintah.
  1. Saya juga menekankan bahawa Kerajaan sedia ada adalah Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan pelbagai parti politik. Kerajaan telah memutuskan untuk menerima pakai sebarang manifesto pelbagai parti politik tersebut yang sama atau serupa sahaja.
  1. Walau bagaimanapun, tidak semua parti politik yang membentuk Kerajaan sedia ada menawarkan perkara yang sama berkenaan PTPTN. Kerajaan akan mengambil kira keupayaan kewangan dan kelangsungan PTPTN dalam membuat sebarang keputusan
  1. Oleh hal yang demikian, saya menyeru dan memohon kepada semua ahli dan parti politik dari pihak atau blok mana sekalipun untuk berhenti mempolitikkan PTPTN.

DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

14 FEBRUARI 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Jawapan Lisan Parlimen - PTPTN.pdf (97 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5773
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 Julai 2024, 04:35:17.

logo-sirim