Data Raya TVET Akan Dibangunkan
Dalam usaha untuk memperkasa dan menambah baik Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), satu pangkalan Data Raya TVET akan dibangunkan oleh semua Kementerian yang menganggotai Jawatankuasa Kabinet Pemerkasaan TVET (JKKPTVET). Data ini dilihat akan dapat membantu pengumpulan data berkaitan permintaan atau demand daripada pihak industri bagi merancang unjuran pekerjaan atau memberi perhatian kepada bidang yang kritikal.
Mesyuarat kali kedua yang telah dipengerusikan oleh YB. Dr. Maszlee Malik pada 26 November di Kuala Lumpur telah melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama lapan (8) kementerian lain iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini mampu menyebarluas dan memperkasakan kempen TVET Kebangsaan sekaligus meletakkan TVET setanding dengan bidang profesional lain. Pada mesyuarat kali ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah dinamakan sebagai ahli baharu sekaligus melantik YB Datuk Ignatius Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai ahli JKKPTVET.
Dengan pelaksanaan Kempen Promosi TVET Kebangsaan yang merangkumi pertandingan mencipta logo kebangsaan TVET, pencarian TVET Influencer dan pengiktirafan TVET VIP juga turut giat dilaksanakan.
Beberapa aktiviti bagi mempromosikan pemerkasaan TVET telah dilaksanakan seperti empat (4) siri Ekspo Jelajah TVET dan Industry Dialogue yang telah berjaya mendapat penglibatan hampir 5000 peserta.
YB Dr. Maszlee berkata, segala inisiatif yang dilakukan oleh JKKPTVET akan mencorakkan masa hadapan negara pada masa akan datang dengan pelaksanaan yang sempurna tanpa sebarang kesilapan agar menjadi contoh kepada negara lain.
Di samping itu, sebanyak 20 strategi dan 15 syor telah digariskan kepada lima pemacu TVET dalam mencapai aspirasi kebangsaan ekosistem TVET dan aspirasi pelajar TVET berkemahiran tinggi sebagai sasaran Kerajaan untuk melahirkan 35% tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2020.
Lima pemacu TVET tersebut adalah Badan Penyelaras TVET Negara, Model Pembiayaan yang mampan, Model Pemilikan Bersama dengan industri, Pemerkasaan Persijilan TVET (Industri) dan Penjenamaan TVET Kebangsaan Tunggal telah dilaksanakan dengan jayanya selain turut memberikan manfaat kepada rakyat dengan kemahiran tenaga kerja yang diutamakan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap agar insiatif dalam memperkasakan dan menjayakan agenda pendidikan TVET ini dapat menyediakan peluang terutamanya kepada graduan dengan tahap kebolehpasaran yang tinggi bagi melahirkan graduan yang bekerjaya.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
27 November 2019
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 10824