YB Timbalan Menteri Lancar UMQEI, Indeks Pengukuran Kualiti Komprehensif IPT Pertama Malaysia

23 April 2026 | Bangsar, Kuala Lumpur
Integriti dan keberanian untuk melakukan transformasi menjadi teras utama dalam memperkukuh agenda kualiti nasional bagi mendepani cabaran global yang semakin kompleks dan tidak menentu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim menegaskan bahawa kecemerlangan sektor pendidikan tinggi tidak hadir secara kebetulan sebaliknya merupakan hasil daripada budaya kerja yang tekun, disiplin konsisten, dan keberanian untuk memperbaiki diri.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Kualiti Universiti Malaya (UM) 2026 serta Peluncuran Sistem Indeks Kecemerlangan Kualiti Universiti Malaya (UMQEI) yang berlangsung di sini pagi tadi.
Sistem UMQEI merupakan indikator kualiti berasaskan indeks, pertama seumpamanya di Malaysia yang dibangunkan sendiri melalui kepakaran warga UM bagi menilai kecemerlangan institusi secara menyeluruh.
Peluncuran sistem ini membuktikan keupayaan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan untuk bertindak sebagai 'trendsetter' yang mampu memimpin dan mencipta penanda aras kualiti baharu menggantikan piawaian lama.
Dalam majlis yang sama, UM turut menerima tiga (3) pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) yang mengukuhkan lagi reputasi institusi tersebut dalam aspek pengurusan kualiti.
Pengiktirafan tersebut termasuklah sebagai IPT Pertama dengan Penilaian Kecemerlangan Kualiti Berasaskan Indeks yang Komprehensif bagi sistem UMQEI.
Selain itu, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) turut melakar sejarah apabila diiktiraf sebagai Hospital Pengajar Universiti Awam Pertama yang mendapat akreditasi MSQH serta pemegang Akreditasi Standard Perkhidmatan MSQH terbanyak di Malaysia.
Kementerian Pendidikan Tinggi menyasarkan agar piawai kecemerlangan yang diperkenalkan tersebut dijadikan model ikutan oleh semua IPT awam dan swasta di seluruh negara bagi melonjakkan reputasi pendidikan tinggi Malaysia.
Agenda kualiti itu juga diharapkan dapat menghasilkan modal insan yang tangkas, beretika, dan celik digital bagi memenuhi keperluan pasaran kerja masa hadapan.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Dato' Sri Zarinah Anwar; Naib Canselor UM, Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Prof. Dr. Hasniza Zaman Huri; dan Pengarah Pusat Perubatan UM, Prof. Dr. Mohd Zulkiflee Abu Bakar.
- Last updated on .
- Hits: 13
