YB Timbalan Menteri Bersama Warga UiTM Kampus Dengkil Hidupkan Malam Nuzul Al-Quran

Malam Nuzul Al-Quran di Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil jadi penuh istimewa apabila Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud turun untuk bersama-sama warga kampus menghidupkan malam yang penuh keberkatan tersebut.
Program Kunjungan Mahabbah beliau ke Pusat Islam kampus tersebut dimulakan dengan solat Isyak dan solat tarawih berjemaah.
Dalam suasana Ramadan yang penuh keinsafan, program ini memberi peluang kepada warga IPT untuk lebih menghayati makna Nuzul Al-Quran yang memperingati turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pelajar, YB Datuk Ts. Mustapha turut menyampaikan sumbangan Bantuan Kasih Ramadan oleh Yayasan Perkasa Siswa sebanyak RM250 kepada 20 orang pelajar terpilih.
Jelas beliau, program ini bukan sahaja bertujuan mengukuhkan hubungan antara pemimpin, pengurusan universiti, dan pelajar, tetapi juga sebagai wadah untuk memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan warga IPT.
Selesai solat witir, program diteruskan dengan sesi moreh dan borak santai antara YB Timbalan Menteri bersama-sama para pelajar bagi mengajukan soalan, pendapat serta pandangan masing-masing.
Hadir menyantuni delegasi kunjungan adalah YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, mewakili Naib Canselor, diiringi YBrs Profesor Ir. Dr Mohd Farid Abidin, Pengarah Pusat Asasi, bersama barisan pengurusan kampus.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 440