YB Menteri Ziarah Keluarga Allahyarham Syamsul Haris, Janji Sokongan Moral Dan Kerjasama Penuh Siasatan Kematian

YB Menteri Ziarah Keluarga Allahyarham Syamsul Haris, Janji Sokongan Moral Dan Kerjasama Penuh Siasatan Kematian

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menziarahi keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kediaman mereka di Taman Pelangi, Semenyih, Selangor, tengah hari tadi.

Kunjungan tersebut diadakan bagi menyampaikan ucapan takziah kepada ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, serta mendapatkan gambaran awal berhubung insiden yang berlaku pada 28 Julai lalu di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Peperangan Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, YB Datuk Wira Johan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; serta Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Hirman Awang.

Dalam kesempatan tersebut, YPS turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda keprihatinan terhadap beban yang ditanggung.

YB Menteri memaklumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Penyiasatan telah ditubuhkan oleh Kementerian Pertahanan dengan penglibatan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan bagi menyiasat punca kematian.

Beliau menegaskan bahawa KPT dan UTM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan jawatankuasa berkenaan bagi memastikan proses siasatan dijalankan dengan telus dan menyeluruh.

Menurut YB Menteri, Kementerian tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti berlaku unsur salah laku atau kecuaian dalam insiden tersebut serta turut mengarahkan UTM supaya menyediakan bantuan psikologi kepada keluarga Allahyarham sebagai langkah sokongan moral dan emosi.

Allahyarham Syamsul Haris merupakan pelajar UTM yang sedang menjalani latihan ketenteraan di bawah PALAPES sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi selepas tidak sedarkan diri ketika latihan. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 543
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 September 2025, 04:30:59.

logo-sirim