YB Menteri Pendidikan Tinggi Gulung Perbahasan RUU Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat

YB Menteri Pendidikan Tinggi Gulung Perbahasan RUU Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat

27 Oktober 2026 | Parlimen

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Rakyat petang tadi.

Pada sidang tersebut, seramai 26 orang Ahli Dewan Rakyat telah membahaskan isu serta mengemukakan cadangan berkaitan tujuh (7) perkara utama dalam sektor pendidikan tinggi negara.

Antara perkara utama yang disentuh ialah reformasi Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), dengan KPT menyasarkan pembentangan cadangan pindaan berkaitan akta itu di Dewan Rakyat pada Disember depan sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang baharu.

Perbahasan turut menekankan autonomi universiti, kebebasan akademik dan hak mahasiswa, termasuk cadangan memperluas autonomi kewangan badan pelajar serta meneliti pindaan peruntukan berkaitan penglibatan mahasiswa dalam persatuan dan kumpulan pelajar.

Isu kebajikan mahasiswa turut mendapat perhatian, khususnya bantuan kewangan bagi memastikan kekangan ekonomi keluarga tidak menghalang pelajar yang layak daripada melanjutkan pengajian di universiti awam.

Selain itu, perbahasan menyentuh kebolehpasaran graduan dan kesesuaian program pengajian dengan keperluan industri, termasuk penerapan teknologi baharu, pembelajaran berasaskan tempat kerja serta kerjasama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan pihak industri.

Berkaitan pembiayaan pendidikan, isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut dibangkitkan, termasuk pendekatan bayaran balik pinjaman yang mengambil kira kemampuan kewangan peminjam serta langkah membantu mereka yang berdepan kekangan ekonomi.

Ahli Dewan Rakyat turut membahaskan akses pendidikan tinggi dan pembangunan institusi, termasuk cadangan penubuhan institusi baharu di Sabah, pembangunan politeknik dan kolej komuniti serta keperluan kemudahan kolej kediaman bagi pelajar.

Perbahasan turut merangkumi akses pelajar Tingkatan Enam ke universiti awam, pengambilan pelajar perubatan di Sabah serta pengiktirafan program perubatan dari China.

Bagi 2027, KPT menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM19.09 bilion berbanding RM18.60 bilion pada 2026, merangkumi RM15.13 bilion bagi belanja mengurus dan RM3.96 bilion bagi belanja pembangunan.

Penggulungan itu merangkumi hala tuju reformasi perundangan, kebajikan mahasiswa, pembiayaan pendidikan serta pembangunan institusi dan graduan, selaras dengan keperluan semasa dan perancangan pendidikan tinggi negara.

  • Last updated on .
  • Hits: 19
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 04 November 2026, 11:36:25.

logo-sirim