Tinjau Projek Pembangunan Asrama Baharu Dan Sesi 'Catch Up With Doc Zam', Isi Program Lawatan Kerja Rasmi YB Menteri Ke Politeknik Sandakan
Lawatan kerja rasmi ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) merupakan mekanisme penting bagi menilai keberkesanan pelaksanaan dasar dan projek pembangunan di peringkat akar umbi.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semalam telah mengadakan tinjauan rasmi ke Politeknik Sandakan Sabah (PSS) bagi memantau perkembangan projek asrama baharu bernilai RM39 juta.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berpuas hati dengan status kemajuan projek semasa walaupun terdapat sedikit kekangan faktor cuaca.
Projek yang merangkumi dua (2) blok bangunan asrama itu dijadualkan siap sepenuhnya pada September 2027 bagi menampung seramai 700 orang pelajar tambahan.
Pembinaan tersebut adalah respon langsung Kerajaan MADANI terhadap keperluan mendesak penempatan pelajar di PSS yang telah beroperasi lebih daripada 17 tahun.
Dalam rangka lawatan yang sama, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut mengadakan perjumpaan khas bersama pemimpin pelajar dan warga kampus menerusi program ‘Catch-Up With Doc Zam’.
Sesi tersebut memberi ruang kepada beliau untuk mendengar secara langsung maklum balas mengenai kemudahan kampus serta aspirasi pelajar terhadap sistem pendidikan negara.
KPT menegaskan bahawa segala input yang diterima akan diperhalusi demi memastikan PSS terus berfungsi sebagai hab pendidikan TVET yang cemerlang di Sabah.
Kejayaan projek asrama dan sesi libat urus ini dijangka memberi impak positif kepada ekosistem pendidikan tinggi di kawasan Pantai Timur Sabah.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, YB Datuk Jafry Ariffin; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Haji Ulaimi Yahya; dan Pengarah PSS, Mohd Sahran @ Awang Mohidin.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 74