Sinergi KPT-KKM: Perkukuh Kerjasama Strategik Demi Memperkasakan Sektor Kesihatan Negara

Sinergi KPT-KKM: Perkukuh Kerjasama Strategik Demi Memperkasakan Sektor Kesihatan Negara

18 Jun 2026 I Putrajaya

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh jalinan kerjasama strategik demi memartabatkan serta memperkasakan landskap sektor kesihatan negara.

Komitmen tersebut dizahirkan melalui satu sesi kunjungan hormat oleh Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad kepada Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim. Sesi ini turut disertai oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mahathar bin Abd Wahab dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda binti Azman.

Matlamat sesi pertemuan ini adalah untuk membincangkan jalinan kerjasama strategik antara KKM dan KPT dalam memperkasakan sektor kesihatan negara. Antara agenda utama yang diberi penekanan termasuk merangka strategi jangka masa panjang bagi mengurangkan kesesakan kritikal di hospital-hospital seliaan KKM, meneliti tren penurunan pengambilan Pegawai Perubatan Siswazah serta memperkukuh aspek pengekalan tenaga kerja melalui penambahbaikan ketetapan Graduate on Time (GOT) semasa.

Selain itu, kedua-dua pihak turut meneroka potensi integrasi dan perkongsian sumber antara Hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti Awam (HPU). Langkah ini termasuk memperhalusi mekanisme pengambilan, penentuan kuota serta penambahbaikan sistem penilaian bagi pelajar bidang perubatan, di samping membincangkan cadangan penyumberluaran bagi program Diploma Kejururawatan KKM untuk memenuhi permintaan pasaran.

Dalam sesi pertemuan ini, kata sepakat telah dicapai kedua-dua pihak bahawa sinergi antara KKM selaku penyedia perkhidmatan kesihatan terbesar negara dan KPT sebagai pengeluar utama modal insan berkemahiran tinggi, harus diteruskan secara lebih holistik. Bagi memastikan segala perancangan strategik ini dapat direalisasikan dengan berkesan, kedua-dua Kementerian bersetuju untuk mewujudkan satu platform perbincangan berkala yang berstruktur. Langkah ini bakal menjamin kelangsungan kolaborasi yang lebih efektif, telus dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian sistem kesihatan negara. 

  • Last updated on .
  • Hits: 80
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Jun 2026, 03:59:08.

logo-sirim