Putrajaya FOI 2026: YB Timbalan Menteri Santuni Delegasi Kehormat, Perkenal Keindahan Putrajaya

Putrajaya FOI 2026: YB Timbalan Menteri Santuni Delegasi Kehormat, Perkenal Keindahan Putrajaya

18 November 2026 | Putrajaya

Usai sesi Dialog Menteri – Kesihatan Planet yang dihoskan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, para tetamu kehormat dari lima (5) negara dibawa menikmati panorama senja Putrajaya menerusi pelayaran di Tasik Putrajaya yang dihoskan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim petang tadi.

Pelayaran sempena Majlis Sambutan Menteri (Ministerial Welcome Reception) Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 itu memberi peluang kepada delegasi menikmati pemandangan sekitar tasik dan mercu tanda Putrajaya, selain meneruskan interaksi selepas sesi perbincangan rasmi mengenai agenda kesihatan planet dan kerjasama pendidikan tinggi serantau.

Antara tetamu kehormat yang menyertai majlis itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Filipina, TYT Dr. Shirley Castañeda Agrupis; Menteri Perancangan dan Pelaburan Strategik Timor-Leste, TYT Gastão Francisco de Sousa; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, TYT Prof. Dr. Fauzan; Anggota Lembaga Eksekutif Majlis Pendidikan Tinggi Türkiye, Prof. Dr. Hayrunnisa Bolay Belen; serta Ketua Pakar Jabatan Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Sains dan Pendidikan Tinggi Kazakhstan, Yerkegali Tlekkali.

Majlis tersebut menjadi sesi jaringan yang menyediakan ruang kepada para delegasi bertukar pandangan serta mengeratkan hubungan dalam suasana lebih santai di luar agenda rasmi festival.

Penganjuran majlis itu bukan sahaja menjadi ruang Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyantuni tetamu antarabangsa, malah memperkenalkan Putrajaya menerusi pengalaman menikmati keindahan tasik, landskap bandar dan seni bina yang menjadi antara tarikan utama pusat pentadbiran negara.

“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”

  • Last updated on .
  • Hits: 20
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 19 November 2026, 08:33:17.

logo-sirim