PULARA Ke-11: YB Menteri Seru Kembali Kepada Akar Budaya, Bina Jati Diri Bangsa
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk memastikan sistem pendidikan tinggi negara mempunyai roh dan tidak melahirkan manusia yang tidak mengenal siapa dirinya.
Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang memetik pandangan ahli falsafah bahawa 'sebuah negara yang tidak ada nilai-nilai kesusasteraannya, adalah sebuah negara yang kosong, yang tidak ada rasa empatinya'.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) ke-11 di sini semalam.
YB Menteri menekankan bahawa antara jalur utama untuk membina jati diri sesebuah bangsa adalah melalui pembinaan aspek kesusasteraan dan kebudayaannya.
Sejajar dengan itu, beliau menegaskan bahawa budaya tidak seharusnya bertembung, sebaliknya mesti wujud bersama (co-exist) dalam keadaan yang penuh harmoni.
Majlis anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan sokongan KPT ini turut meraikan kehadiran pelajar antarabangsa dari pelbagai pelosok dunia.
Mengimbau sejarah penganjurannya, YB Menteri mendedahkan bahawa PULARA yang dicetuskannya dahulu pernah dihadiri 36 buah negara dan tersenarai dalam almanak World Congress of Poets.
Justeru, beliau menyeru agar program ini dihidupkan semula dan dikembangkan agar ia mampu menjadi satu mercu tanda antarabangsa yang kuat untuk UPSI.
Malah, beliau berharap agar universiti-universiti lain turut mewujudkan mercu tanda mereka sendiri di peringkat antarabangsa.
Dalam majlis yang sama, YB Menteri turut menyempurnakan Peluncuran Kampung Angkat MADANI serta menyampaikan Cek Cura Sekolah Angkat MADANI sebagai simbolik sokongan kementerian terhadap inisiatif komuniti setempat.
Majlis turut meraikan kejayaan penganjur menerima sijil Malaysia Book of Records (MBOR) bagi 'Largest Participation Wearing Traditional Attire in a Gathering'.
Lebih menarik, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut sama mendeklamasikan puisi hasil nukilan beliau sendiri yang bertajuk, Palestin Pasti Merdeka.
Turut hadir isteri kepada YB Menteri, Datin Seri Diraja Saripah Zulkifli; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Aneese Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan;Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Profesor Emerita Datuk Dr. Roziah Omar; Naib Canselor UPSI, Prof. Dato Dr. Md Amin Md Taff; serta Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris.
- Terakhir dikemaskini pada .
 - Hits: 285