Program "Talk To Us" KPT Jadi Platform Mahasiswa Sabah UKM Suarakan Idea Dan Pandangan
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyeru mahasiswa untuk menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi yang dipelajari di universiti bagi menentusahkan semua berita dan maklumat yang ada di media sosial.
Perkara tersebut disuarakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud ketika mempengerusikan sesi dialog "Talk To Us" di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) petang tadi.
Kira-kira 200 orang pelajar telah menyertai program dialog yang memfokuskan kepada aspirasi mahasiswa dari Sabah.
Dalam sesi tersebut, Penasihat Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi Sabah UKM (PERMIS), Prof. Madya Dr. Azlan Abas sebagai salah seorang ahli panel turut menyuarakan pandangan bahawa peranan universiti adalah untuk melahirkan graduan yang mampu menganalisis dan mensintesis maklumat, bukan hanya menerima ilmu semata-mata.
YB Timbalan Menteri berkata, keupayaan untuk menilai maklumat secara kritis adalah penting bagi mahasiswa membuat keputusan yang bijaksana dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk dalam konteks kenegaraan.
Sesi dialog tersebut memberi tumpuan kepada cabaran dan peluang yang dihadapi oleh mahasiswa dari Sabah di Semenanjung, merangkumi aspek jati diri, kepelbagaian budaya, dan sosioekonomi.
Mahasiswa digalakkan untuk melihat perbezaan latar belakang sebagai satu ruang untuk berkongsi perspektif unik dan berani mencuba perkara baharu di luar zon selesa mereka.
Isu-isu pembangunan modal insan seperti 'brain drain' dan keperluan memperkasakan lagi Institusi Pendidikan Tinggi di Sabah turut dibangkitkan oleh para pelajar yang hadir.
Program "Talk To Us" di UKM ini adalah kesinambungan daripada siri jelajah KPT yang telah diadakan di beberapa IPT lain seperti Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi MARA, dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, bagi mendengar sendiri pandangan mahasiswa Sabah.
Sesi dialog turut dijayakan oleh ahli-ahli panel yang lain iaitu Yang Di-Pertua Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi Sabah UKM (PERMIS), Debora Sylvia Devid; dan Pelajar Pascasiswazah (PhD) Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM, Muhammad Zamri Maddimunri.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 558