Pendidikan Inovatif, Inklusif Dan Sepanjang Hayat Teras Pembangunan Modal Insan Negara

Pendidikan Inovatif, Inklusif Dan Sepanjang Hayat Teras Pembangunan Modal Insan Negara

Aspirasi untuk melahirkan modal insan yang mampu mendepani cabaran masa hadapan menuntut penerapan sistem pendidikan yang bersifat inklusif, inovatif, dan sepanjang hayat sebagai teras utama.

​Naratif ini dizahirkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Sidang Kemuncak dan Pameran Kepimpinan Pendidikan BETT Asia 2025 di sini pagi tadi.

​Beliau menegaskan bahawa inovasi dalam pendidikan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan elemen kritikal yang didorong oleh kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan platform digital yang berupaya mentransformasi landskap pengajaran dan pembelajaran.

​Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited merealisasikan wawasan ini berpandukan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara yang berteraskan kepada tiga (3) tonggak utama iaitu meluaskan akses dan keterangkuman, memperkukuh kualiti dan kecemerlangan, serta memacu kerjasama dan inovasi.

​Dalam ucapannya, beliau turut menekankan bahawa teknologi harus dimanfaatkan untuk menjadikan pendidikan lebih bermakna dan inklusif bagi memacu kemajuan insan sejagat.

​Platform berprestij seperti BETT Asia dilihat sebagai medan strategik yang menghimpunkan pemimpin pendidikan dari seluruh ASEAN dan persada global untuk bertukar idea, mempamerkan inovasi, serta menjalin kerjasama strategik.

​Komitmen ini diperkukuh melalui inisiatif kerjasama antarabangsa seperti Memorandum Persefahaman (MoU) Pendidikan Tinggi Malaysia-United Kingdom, yang mengiktiraf BETT Asia sebagai platform kolaboratif penting.

​Selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia beriltizam untuk terus memacu agenda pendidikan digital di peringkat serantau bagi memastikan rantau ini kekal berdaya tahan dan siap siaga untuk masa hadapan.

​YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyeru agar semangat perkongsian dan inovasi yang dijalin sepanjang persidangan ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang menyokong setiap pendidik dan memperkasa setiap pelajar.

​Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, TYT Ajay Sharma; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat) Kementerian Pendidikan Brunei, Pengiran Dr. Mohammad Iskandar Pengiran Haji Petra; Setiausaha Negara, Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja, TYT Dr. Vathana Sann; Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Pendidikan dan Sukan Laos, Dr. Silinthone Sacklokham; Pengarah Sekretariat Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO), Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim; dan Pengarah Pusat Serantau SEAMEO bagi Pendidikan Khas (SEAMEO SEN), Jamilah Kadir. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 663
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 Oktober 2025, 04:17:19.

logo-sirim